Jumaat, 10 Disember 2021 | 6:28pm
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, melancarkan Rangka Kerja Pelestarian Plastik 2021-2030 dan Buku Bersama Memakmur Bumi Sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Kuala Lumpur Convention Centre. - Foto SAIFULLIZAN TAMADI
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, melancarkan Rangka Kerja Pelestarian Plastik 2021-2030 dan Buku Bersama Memakmur Bumi Sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Kuala Lumpur Convention Centre. - Foto SAIFULLIZAN TAMADI

Hentikan produk plastik bermasalah tiga tahun lagi

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan mengenal pasti produk plastik dan plastik sekali guna yang bermasalah untuk dihentikan pengeluaran dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu akan dilaksanakan dalam fasa pertama Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 yang dilancarkan kementeriannya, hari ini.

Katanya, empat jenis resin plastik iaitu PET, HDPE, LDPE atau LLDPE dan PP yang mempunyai nilai kitar semula tinggi pula akan diberi tumpuan penggunaan plastik pada masa hadapan.

"Tumpuan adalah dalam sektor pembungkusan, elektrik dan elektronik, automotif dan pembinaan. Selain empat jenis resin plastik berkenaan, ia akan menjadi input material kepada sektor sisa ke tenaga dan ia sedang dibangunkan secara agresif oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Dalam fasa satu rangka kerja ini juga, satu platform rangkaian perkongsian maklumat ekonomi kitaran termasuk verifikasi status halal bagi produk pembungkusan plastik berasaskan resin kitar semula akan diwujudkan menjelang tahun depan.

"Rangka kerja ini akan dilaksanakan secara tiga fasa. Fasa Pertama bermula pada tahun ini hingga 2024 dan pada fasa ini, produk plastik dan plastik sekali guna yang bermasalah akan dikenal sebelum tindakan henti diambil," katanya pada Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021 – 2030 dan buku Bersama Memakmur Bumi, di sini hari.

Yang turut hadir Timbalan Menteri, Datuk Mansor Othman dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pada dalam fasa pertama juga, Skim Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) yang dimulakan secara sukarela akan disusuli dengan langkah mandatori menjelang 2026.

"Melalui skim EPR ini, pihak pengeluar akan bertanggungjawab untuk menambah baik reka bentuk produk, proses, merawat dan melupuskan sisa plastik," katanya.

Beliau berkata, dalam fasa seterusnya yang bermula pada tahun 2025 hingga 2028, penggunaan bahan plastik kitar semula dalam penghasilan produk serta pengenaan nilai ambang minimum bahan kitar semula dalam produk pembungkusan akan dikuatkuasa.

"Seterusnya, ia akan diperluas kepada industri automotif.

"Fasa Ketiga nanti, nilai ambang minimum bahan kitar semula bagi sektor pembinaan akan diperkenalkan pada tahun 2030," katanya. \

Katanya, KASA membangunkan rangka kerja ini sebagai kompas kepada semua pemegang taruh dalam melestarikan plastik berkonsepkan ekonomi kitaran di sepanjang rantaian nilai.

Dalam sidang media, Tuan Ibrahim berkata, rangka kerja baharu itu adalah satu daripada tindakan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018 - 2030 yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada tahun 2018 ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Kita tidak mengabaikan perancangan yang direncanakan oleh kerajaan terdahulu sebaliknya meneruskan walaupun perubahan kerajaan berlaku seperto Pelan Sifar Plastik Sekali Guna," katanya.

Berita Harian X