Jumaat, 10 Disember 2021 | 4:43pm
AHLI Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee.
AHLI Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee.

'Kenyataan Tony Pua tidak berasas, berunsur fitnah'

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, berhubung pelbagai isu di sebalik projek jajaran Transit Aliran Massa (MRT) 2 disifatkan sebagai tidak berasas dan mengandungi tuduhan berunsur fitnah.

Pengarah Urusan Gamuda Engineering, Justin Chin Jing Ho, berkata pendedahan dan penjelasan berhubung beberapa kejadian yang berlaku membabitkan pelaksanaan projek mega berkenaan pada 2018 lalu adalah amat tidak benar.

Mengemukakan penjelasan, beliau berkata, pecahan terbesar daripada penjimatan RM8.82 bilion yang diraih menerusi MRT2, terdiri daripada lapan perkara, meliputi skop pengurangan spesifikasi projek dan pembatalan aspek tertentu.

"Ia merangkumi penangguhan pembinaan dua stesen bawah tanah, selain pelbagai aspek pengurangan iaitu jumlah tren, sambungan stesen pertukaran dengan jajaran sistem lain, jumlah laluan masuk, jambatan, parkir bertingkat dan spesifikasi bangunan.

"Juga tersenarai ialah rasionalisasi kerja sistem mekanikal dan elektrikal MRT2 serta pembatalan penyediaan jalur lebar di stesen.

"Sebanyak 35 peratus penjimatan pula terdiri daripada kontingensi, bayaran balik dan jumlah keseluruhan, manakala lebihan lima peratus lagi ialah pengurangan margin MMC Gamuda, susulan pertukaran konsep pelaksanaan projek kepada 'turnkey contract' (kontrak siap guna).

"Kenyataan Kementerian Kewangan bertarikh 17 Januari 2020 berikutan perubahan konsep pelaksanaan projek MRT2 juga menggariskan bahawa ia dilaksana bagi memenuhi permintaan semasa, tetapi memberi ruang untuk kerja-kerja penambahbaikan dilakukan pada masa depan," katanya menerusi surat terbuka, hari ini.

Pua yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada 2018, sebelum ini dilaporkan berkata, projek MRT2 bakal menambah bebanan hutang kerajaan sekurang-kurangnya RM50 bilion.

Sehubungan itu, Guan Eng mengarahkan kementerian untuk menjalankan kajian, sama ada projek mega berkenaan berupaya dibina bersandarkan kos yang lebih berpatutan, meskipun MRT2 ketika itu sudah berada pada tahap siap 40 peratus.

Bagi menjalankan peranan itu, sebuah firma perunding kejuruteraan yang antara terbesar di rantau ini mendapati kos pembinaan MRT1 dan MRT2 berupaya dilaksana pada kadar kos terendah, sekiranya beberapa langkah dilakukan.

Penjimatan sedemikian berupaya dicapai menerusi rundingan semula, penstrukturan semula atau membuka kembali tender MRT2, tanpa menjejaskan fungsi, kebolehlaksanaan serta operasi projek.

Jing Ho berkata, firma perunding yang kononnya pernah menyiapkan 80 projek di 24 negara, sekali gus menjadi asas kelayakan untuk dilantik pada 2018 langsung tidak mempunyai rekod pengalaman mengendalikan projek infrastruktur pelbagai disiplin seperti MRT2, khususnya membabitkan kerja terowong bawah tanah.

"Dalam erti kata mudah, firma ini tidak layak dan gagal memenuhi prasyarat untuk mengemukakan tender sebagai perunding reka bentuk bagi projek berskala besar.

"Bagaimanapun, kajian mereka dijadikan sebagai garis panduan untuk anda (Tony Pua) bahawa wujud penjimatan ketara yang berupaya dicapai tanpa menjejaskan fungsi, kebolehlaksanaan dan operasi projek.

"Kebanyakan potensi penjimatan yang dikemukakan firma perunding berkenaan tidak menepati aspek kebolehlaksanaan teknikal dan disanggah berulang kali ketika proses penilaian semula dijalankan," katanya.

Mengulas mengenai usaha melobi Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyandang jawatan Perdana Menteri ketika itu, Jing Ho menafikan pihaknya pernah berbuat demikian, sebaliknya semua komunikasi berhubung projek MRT2 dilakukan menerusi kaedah bertulis.

Bagaimanapun, tidak dijelaskan sama ada kaedah bertulis yang dimaksudkan merujuk kepada urusan surat menyurat atau menerusi emel.

Berita Harian X