Khamis, 9 Disember 2021 | 6:21pm
Timbalan Kementerian Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Kementerian Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

MOF lantik DNB tanpa berbincang KKMM - Zahidi

KUALA LUMPUR: Pelantikan Digital Nasional Berhad (DNB) bagi pelaksanaan teknologi internet 5G di Malaysia diputuskan Kementerian Kewangan (MOF).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin, berkata pelantikan itu bagaimanapun dibuat tanpa melalui perbincangan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) terlebih dahulu.

"Apabila diberi spektrum kepada DNB dan ia (DNB) jual pula kepada telco (syarikat telekomunikasi), bermakna dua kali peningkatan tetapi DNB memberi jaminan harganya lebih murah daripada sekarang.

"Sekarang pun bila telekomunikasi caj kita lebih murah, tetapi mereka nak bagi murah lagi. Itu jaminan DNB kepada kita. Maknanya DNB ambil spektrum, jual kepada telco, tetapi boleh bagi harga lagi murah.

"Ini satu perkara yang cukup ajaib dan kita terima. Jadi kita terpaksa bersetuju," kata ketika menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Oleh demikian, Zahidi berkata, KKMM sudah bertemu DNB bagi membincangkan teknologi 5G, termasuk meminta syarikat itu bekerjasama dengan Telekom Malaysia (TM).

"DNB tak ada apa-apa pun. Maknanya tubuh syarikat, panggil (CEO) Marshall buat 5G. Jadi kita tanya, macam mana pembabitan Bumiputera, kenapa tak boleh bekerjasama dengan TM," katanya.

Sementara itu, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) ketika mencelah mempersoal mengapa projek itu diberikan kepada DNB jika syarikat terbabit tidak mempunyai pengalaman atau infrastruktur.

Zahidi bagaimanapun berkata, perkara itu perlu ditanyakan kepada MOF, selain bersetuju spektrum 5G sepatutnya diberikan kepada syarikat telekomunikasi di sektor swasta bagi mempercepat proses pelancarannya kerana sudah mempunyai infrastruktur disediakan.

"Bagaimanapun, MOF nak buat kerja telekomunikasi, kita biarlah dia buat dan cuba bekerjasama dengannya.

"Tetapi apabila DNB kata nak buat (5G), saya beri alasan supaya kita adil kepada DNB... dia bagi alasan 4G yang telco buat belum siap, jadi 5G dia nak buat.

"Jadi maknanya kita terima alasan tersebut sebab dia (DNB) nak control (kawal) 5G," katanya.

Berita Harian X