Rabu, 8 Disember 2021 | 7:46pm
Annuar pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Annuar pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA

'Kerajaan terbuka dengar keluhan, pandangan'

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersikap terbuka untuk mendengar keluhan dan pandangan semua pihak berkaitan, termasuk Ahli Parlimen pembangkang, mengenai sama ada sistem Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) bagi pelancaran rangkaian 5G wajar dikekalkan atau diubah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata pelaksanaan 5G membabitkan kepentingan nasional, justeru kerajaan mahu ia berjalan dengan baik dan mencapai kejayaan.

"Kerajaan sudah mengambil pendekatan mendengar segala keluhan serta pandangan, termasuk daripada pembangkang, dan meminta Digital Nasional Berhad (DNB) mengadakan libat urus dengan wakil rakyat 'backbenchers' serta pembangkang, dan memberi 'update' kepada Jemaah Menteri.

"Berdasarkan libat urus yang dilakukan itu, Jemaah Menteri berpandangan ada asas untuk mereka diberikan penjelasan lebih lanjut sebelum apa-apa keputusan mahu mengubah, (itupun) kalau mahu diubah.

"Apa yang diputuskan setakat ini, di mana negara kita memilih model sistem SWN dengan membentuk sebuah syarikat milik penuh kerajaan untuk mengendalikan pembinaan prasarana sementara syarikat telekomunikasi akan melaksanakan tindakan atau peranan menjalankan perniagaan 5G secara runcit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar menjelaskan, keputusan untuk menggunakan konsep SWN masih dalam proses rundingan antara DNB dengan syarikat telekomunikasi.

Mengenai pelantikan firma telekomunikasi Sweden, Ericsson sebagai rakan strategik dalam mempercepatkan pembangunan rangkaian serta ekosistem perkhidmatan rangkaian teknologi 5G negara, beliau berkata, ia ditentu berdasarkan merit diperoleh syarikat itu.

"Proses tender program 5G bukan dibuat secara sembunyi. Ia dimulakan pada April lalu. Penilaian dibuat ke atas 14 syarikat pembekal pelaksanaan rangkaian. Ini adalah satu tender terbuka secara global di mana syarikat dipilih adalah syarikat antarabangsa, yang sudah ditinjau menerusi tinjauan pasaran.

"Daripada senarai itu, lapan syarikat dijemput mengemukakan Pelawaan Tunjuk Minat (EOI) berdasarkan kriteria pengalaman melaksanakan 5G serta mempunyai operasi di Malaysia," katanya.

Annuar memaklumkan daripada jumlah itu, hanya empat syarikat mengemukakan tawaran secara muktamad dalam proses penilaian tender.

Katanya, pada Mei dan Jun lalu, penilaian dilakukan di mana 55 peratus diberikan kepada penilaian teknikal, penilaian komersial (30 peratus) dan sosioekonomi (15 peratus) bagi menentukan pembida yang berjaya.

"Ericsson mendapat penilaian tertinggi bagi ketiga-tiga kriteria itu. Dari segi teknikal, Ericsson mencadangkan teknologi rangkaian ramalan autonomi 'next generation' yang kalis masa depan dengan fungsi keselamatan mampan yang jitu.

"Dari segi komersial, Ericsson sudah menawarkan harga paling kompetitif berbanding dua lagi terbaik. Dari segi sosialekonomi pula, Ericsson sudah memberi komitmen kepada program pembangunan sosioekonomi paling berimpak dalam pelaburan dilakukannya," katanya.

Berita Harian X