Rabu, 8 Disember 2021 | 2:37pm
Senator Datuk Ras Adiba Radzi
Senator Datuk Ras Adiba Radzi

20 universiti awam tubuh unit mesra OKU

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 universiti awam menubuhkan Unit Perkhidmatan dan Sokongan orang kelainan upaya (OKU) bagi memastikan kebajikan golongan itu, di universiti masing-masing.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata unit itu terletak di bawah seliaan Naib Canselor universiti terbabit dan sebarang arahan disampaikan melalui saluran pengurusan tertinggi universiti awam.

Beliau berkata, kebajikan pelajar OKU di politeknik serta kolej komuniti juga tidak diketepikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan hal berkaitan OKU diselia dan diselaraskan di bawah pengurusan Jabatan Hal Ehwal Pelajar di institusi berkenaan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Ras Adiba Radzi, yang ingin tahu jumlah institusi pengajian tinggi (IPT) yang sudah menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU serta tindakan KPT untuk memastikan semua IPT mengikut arahan kementerian.

Ahmad Masrizal berkata, KPT menyalurkan peruntukan pembangunan sebanyak RM51.04 juta untuk membaik pulih, menaik taraf dan menyediakan infrastruktur penuntut OKU di IPT awam seluruh negara bagi tempoh 2015 hingga 2021.

Beliau berkata, sebagai tanda sokongan dan komitmen untuk memperkasa mahasiswa OKU, kementerian melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) sentiasa menyokong program serta aktiviti yang dilaksanakan.

"Namun permohonan untuk peruntukan bagi pelaksanaan program ini perlu dibuat secara berterusan mengikut keperluan," katanya.

Ahmad Masrizal berkata, pada 2021, JPT melalui Bahagian Mahasiswa Holistik, menyalurkan peruntukan hampir RM150,000 bagi menjayakan beberapa program berkaitan OKU di universiti terbabit. – BERNAMA

Berita Harian X