Selasa, 7 Disember 2021 | 8:41pm
Mahdzir pada Majlis Pelancaran Program Perintis Usanita - Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB, hari ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Mahdzir pada Majlis Pelancaran Program Perintis Usanita - Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB, hari ini. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

KPLB bersedia bantu Sabah tangani isu bekalan air

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersedia untuk bekerjasama dan membantu Kerajaan Sabah menangani isu ketiadaan bekalan air bersih yang kritikal di sesetengah kawasan luar bandar negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya sedar masih banyak kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang memerlukan peruntukan bagi bekalan air.

"Bekalan air adalah tanggungjawab kerajaan negeri. Oleh itu, setiap negeri ada syarikat air sendiri.

"Apa yang KPLB buat ialah membantu tempat yang tiada bekalan air. Kerajaan negeri akan mohon (senarai kawasan) yang memerlukan peruntukan tambahan bagi bekalan air," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Perintis Usanita - Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, keutamaan bagi peruntukan bekalan air di kawasan tertentu adalah tertakluk kepada kerajaan negeri.

"Peruntukan memang daripada KPLB, cuma (kawasan) mana akan dibuat dahulu itu adalah bergantung pada kerajaan negeri.

"Namun, kita bersedia untuk bantu berdasarkan bajet yang diberikan oleh kerajaan. Insya-Allah, jika tempat itu kritikal dan benar apa yang berlaku, kementerian akan mencari peruntukan bagi membantu," katanya.

Semalam, media melaporkan isu ketiadaan bekalan air bersih di kawasan luar bandar di Sabah, memaksa penduduk menjadikan sungai sebagai sumber air walaupun terdedah kepada risiko kehilangan nyawa jika dibaham buaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, dipetik sebagai berkata ada penduduk hilang nyawa kerana mandi atau mengambil air di sungai kerana dibaham buaya, selain lemas.

Beliau berkata, kes sedemikian berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik, khususnya di daerah Kalabakan berpunca daripada ketiadaan bekalan air paip untuk kemudahan penduduk.

Sementara itu menyentuh program yang dilancarkan hari ini pula, Mahdzir berkata, ia adalah platform khas bagi membantu usahawan wanita di luar bandar, khususnya golongan B40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

"KPLB mengambil serius perkembangan dan pembangunan usahawan luar bandar, khususnya dalam aspek pemasaran produk mereka secara dalam talian yang kini menjadi saluran sangat berkesan.

"Penjenamaan juga amat penting untuk membina nilai percaya pembeli terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan.

"Jadi di sinilah pentingnya penjenamaan dan pendigitalan produk usahawan supaya walaupun mereka berada di luar bandar, jualan produk boleh menembusi pasaran dunia," katanya.

Melalui program itu, Usanita Sdn Bhd bekerjasama dengan selebriti popular, Datuk Rosyam Nor, dan 50 usahawan wanita luar bandar terpilih akan dibantu menerusi bimbingan untuk membangunkan penjenamaan serta pendigitalan produk mereka secara menyeluruh.

Berita Harian X