Selasa, 7 Disember 2021 | 3:07pm
Jeck Seng pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Jeck Seng pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Malaysia komited tanam sawit secara mampan

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal komited memastikan penanaman pokok sawit dilaksanakan secara mampan, termasuk larangan ditanam di kawasan perhutanan kekal.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, berkata keluasan kawasan penanamannya pula dihadkan kepada hanya 6.5 juta hektar di seluruh negara.

Beliau berkata, syarat itu bertujuan memastikan kualiti sawit yang dihasilkan adalah terjamin, selain menangkis diskriminasi terhadap minyak sawit, terutama daripada negara Eropah.

"Kita tidak boleh menanam sawit di perhutanan kekal, dan ini merupakan syarat bawah Jabatan Perhutanan. Ia juga adalah salah satu syarat bagi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang berkaitan dengan kualiti dan standard diguna pakai di seluruh negara," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya mengapa penanaman sawit tidak dijadikan sebahagian daripada tanaman hutan agar Malaysia tidak terus dilabel sebagai membersihkan hutan bagi tujuan penanaman sawit.

Jeck Seng berkata, pensijilan MSPO juga bertujuan memastikan peningkatan produktiviti, hasil berkualiti dan akses lebih besar ke pasaran antarabangsa yang seterusnya dapat menyumbang kepada pendapatan lebih tinggi, terutama untuk pekebun kecil.

Kesatuan Eropah (EU) yang juga antara pengimport utama minyak sawit Malaysia, telah mensyaratkan hanya minyak sawit lestari dibenarkan memasuki pasaran Eropah.

Menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai kutipan dana diterima Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) pula, Jeck Seng berkata, yayasan itu telah menerima peruntukan RM8.02 juta setakat Julai lalu.

Katanya, peruntukan itu digunakan bagi membiayai kos pengurusan, selain program dan projek dilaksanakan bawah MPOGCF. – BERNAMA

Berita Harian X