Selasa, 7 Disember 2021 | 2:29pm

Perarakan kavadi, chingay tahun depan tidak dibenarkan

KUALA LUMPUR: Semua perarakan perayaan, termasuk perarakan kavadi bagi Thaipusam dan chingay sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut tahun depan, adalah tidak dibenarkan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata ia berikutan negara sedang berdepan jangkitan varian baharu COVID-19, Omicron ketika ini.

"Dalam permohonan sempena sambutan Thaipusam, perarakan itu tidak dibenarkan (kerana) kita sedang berhadapan dengan varian (COVID-19) yang baharu.

"Keduanya, chingay. Saya sudah menyebut bahawa perarakan bagi sambutan Thaipusam tidak dibenarkan, maka sudah tentu apa saja perarakan adalah tidak dibenarkan dan itupun bergantung pada keputusan tiga jawatankuasa," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Halimah menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) sama ada prosedur operasi standard (SOP) bagi Tahun Baharu Cina akan datang, membenarkan perarakan chingay ketika sambutan perayaan itu.

Terdahulu menjawab soalan asal Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai SOP dirangka untuk sambutan Thaipusam pada tahun depan pula, Halimah berkata cadangan SOP bagi perayaan itu dan Krismas tahun ini dijangka dibentangkan dalam tiga mesyuarat jawatankuasa untuk kelulusan, pertengahan bulan ini.

Beliau berkata, ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 13 Disember ini, disusuli Mesyuarat Kuartet Menteri (14 Disember) sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, dijangka pada 15 Disember.

"Selepas mendapat keputusan mesyuarat, surat makluman kelulusan SOP terbabit akan dihantar kepada pemimpin agama dan kenyataan media turut disediakan," katanya.

Bagi penyediaan SOP perayaan Thaipusam, Halimah berkata, pihaknya sudah mengadakan sesi libat urus bersama 10 pemimpin agama Hindu dan wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2 Disember lalu.

Katanya, ia bertujuan mendapatkan maklumat terperinci mengenai aktiviti dan upacara keagamaan yang sesuai bagi perayaan berkenaan.

Melalui sesi libat urus berkenaan, beliau berkata, tujuh perkara (atau aktiviti keagamaan) dikenal pasti, termasuk pengoperasian gerai jualan, namun tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Menyentuh mengenai setiap SOP perayaan yang disambut pelbagai kaum di negara ini, Halimah berkata, kementeriannya mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan dua bulan sebelum tarikh suatu perayaan.

"Segala cadangan SOP selepas sesi libat urus akan diangkat ke setiap mesyuarat jawatankuasa yang dinyatakan tadi. Sehubungan itu, tiada masalah dalam penyediaan SOP untuk apa-apa perayaan bagi Keluarga Malaysia," katanya. – BERNAMA

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Berita Harian X