Selasa, 7 Disember 2021 | 12:56pm
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, beramah mesra dengan pelajar cemerlang pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Ke-36, di sini. - Foto NSTP/AMIRUDIN SAHIB
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, beramah mesra dengan pelajar cemerlang pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Ke-36, di sini. - Foto NSTP/AMIRUDIN SAHIB

Pertanian pintar tingkatkan pengeluaran

KUALA LUMPUR: Orang ramai khususnya petani tempatan digalakkan untuk memaksimumkan penggunaan teknologi yang ada untuk meningkatkan pengeluaran melalui kaedah pertanian pintar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pertanian pintar adalah satu inspirasi bagi industri pertanian negara yang perlu diceburi oleh semua pihak.

"Teknologi hari ini semakin meningkat dan perlu digunakan semaksimun mungkin bagi tujuan peningkatan pengeluaran pertanian dan mengurangkan kos sedia ada.

"Ia perlu menjadi aspirasi untuk semua, petani seperti mengendalikan pertanian menerusi aplikasi sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Ke-36, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ketua Setiausaha, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi Lembaga Pengarah NEKMAT, Abdul Hamid Bahari.

BH hari ini melaporkan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan model pertanian pintar yang boleh dilaksanakan dalam skala kecil, sederhana atau besar sebagai strategi meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dalam negara, bermula tahun depan.

Model pertanian secara tertutup menggunakan sistem rumah perlindungan hujan, mengguna pakai sistem pengairan dan pembajaan secara automasi melalui kawalan berkomputer atau aplikasi Internet kebendaan (IoT), pencahayaan LED, penghawa dingin dan hidroponik bertingkat.

Terdahulu dalam ucapannya, Ronald berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sektor pertanian akan dipergiat menggunakan teknologi pintar.

"Ia bagi meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara merentasi semua subsektor agromakanan," katanya.

Berita Harian X