Selasa, 7 Disember 2021 | 12:25pm
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. - NSTP/Asyraf Hamzah
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pengeluar bahan makanan dapat insentif cukai

KUALA LUMPUR: Syarikat yang terbabit dalam projek pengeluaran bahan makanan seperti tanaman, ternakan dan akuakultur akan menerima insentif cukai serta pelbagai kemudahan lain, termasuk pembiayaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pengecualian dan potongan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 itu adalah inisiatif yang diwujudkan untuk meningkatkan pelaburan swasta dalam meningkatkan pengeluaran produk tempatan.

"Kita mahu sektor swasta menjalankan pertanian berskala besar dan berteknologi tinggi bagi meningkatkan pengeluaran produk tempatan, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import.

"Misalnya bagi projek baharu, syarikat terbabit layak menikmati pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun perniagaan selama 10 tahun taksiran, manakala bagi projek pembesaran, syarikat terbabit layak menikmati pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun perniagaan selama lima tahun taksiran," katanya kepada BH.

Selain tanaman, ternakan dan akuakultur, beliau berkata, projek pengeluaran bahan makanan lain yang turut layak menerima insentif ialah apikultur (lebah madu dan kelulut) serta perikanan tangkapan laut dalam dan laut lepas.

Ronald berkata, selain itu, kerajaan juga akan mewujudkan ekosistem yang lebih mesra perniagaan, telus, menyokong inovasi dan berdaya saing serta peluang perniagaan yang lebih menarik perlu diwujudkan.

Beliau berkata, dasar, peraturan dan prosedur perniagaan sedia ada perlu dikaji semula bagi menggalakkan dan memacu pelaburan swasta dalam industri agromakanan.

"Langkah ini seiring dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), yang bermatlamat mengurangkan kebergantungan negara kepada barangan import dalam tempoh 10 tahun.

"Dalam tempoh 10 tahun lagi, Malaysia akan menghasilkan sendiri cili, bawang serta pelbagai tanaman lain dan produk lain. Kita tidak perlu bergantung kepada bekalan import," katanya.

Menerusi DAN 2.0, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan penghasilan bekalan makanan ruji negara iaitu beras daripada 63 peratus kepada 80 peratus, manakala sumber protein utama iaitu daging ayam dan ikan akan ke tahap 140 peratus dan 98 peratus.

Dalam pada itu, sayur-sayuran dan buah-buahan masing-masing diunjur meningkat kepada 79 peratus dan 83 peratus pada 2030. Tahap sara diri (SSL) daging lembu negara juga akan ditingkatkan kepada 50 peratus dan susu segar ke tahap 100 peratus menjelang tempoh sama.

Ronald berkata, ketika ini, SSL susu hanya 63 peratus berikutan kurang pelabur dan kekangan tanah untuk industri penternakan, sama ada untuk daging atau tenusu.

"Tanah di negara ketika ini lebih bertumpu kepada tanaman komoditi," katanya.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, pelaburan swasta dalam industri agromakanan ketika ini kurang menggalakkan berbanding dalam industri perladangan, pembuatan dan perkhidmatan.

"Ini antara lain disebabkan kadar risiko lebih tinggi dalam agromakanan, termasuk ketidaktentuan faktor cuaca dan harga pasaran, tempoh kematangan panjang, kerumitan proses perolehan tanah pertanian serta tawaran insentif kurang menarik.

"Bagi memastikan sektor swasta berminat dalam agromakanan, kerjasama dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan juga akan diperkukuhkan terutama berkaitan perolehan dan agihan tanah untuk aktiviti pertanian," katanya.

Berita Harian X