Isnin, 6 Disember 2021 | 7:15pm
Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 kali pertama hari ini - Foto NSTP/Ihsan PMO
Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 kali pertama hari ini - Foto NSTP/Ihsan PMO

Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 pastikan projek manfaat rakyat

KUALA LUMPUR : Kerajaan menerima dan bersetuju dengan kerangka tadbir urus pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memastikan pelaksanaan projek serta programnya memberi manfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 yang ditubuhkan akan bermesyuarat sebanyak empat kali setahun bagi memantau pelaksanaan sembilan fokus utama serta sembilan pemacu terpilih dalam rancangan Malaysia lima tahun itu.

"Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 akan memantau secara khusus 20 perkara utama antaranya prestasi pelaksanaan projek dan perbelanjaan pembangunan; membasmi kemiskinan tegar; menambah baik ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta transformasi perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 kali pertama hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Ahli Jemaah Menteri, Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian serta ketua-ketua jabatan.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga menerima dan bersetuju dengan pendekatan baharu pembasmian kemiskinan tegar secara holistik yang akan diterajui bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, program di seluruh negara ini, membabitkan pelaksanaan secara terancang yang merangkumi sektor awam, swasta, akademia serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO).

"Program ini akan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan keperluan lokaliti dan mengambil kira pelbagai dimensi termasuklah aspek pendapatan, pendidikan dan kemahiran serta kesihatan.

"Sebanyak 50 lokaliti dipilih bagi pelaksanaan dalam fasa satu bermula awal 2022. Dalam memilih lokaliti berkenaan, tumpuan diberikan di negeri-negeri dengan kadar kemiskinan tegar tertinggi," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat bagi membincangkan agenda membasmi kemiskinan tegar ini juga akan diadakan dengan kerap.

"Program ini juga dilaksanakan di bandar dan luar bandar tanpa mengira etnik. Ini bagi memastikan pelaksanaan program membasmi kemiskinan tegar berjalan dengan lebih berkesan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bagi memastikan keberkesanan pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan RMK-12, Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) sudah diedarkan kepada semua kementerian dan agensi bermula pada 23 November lalu.

"Prestasi pencapaian PPD, rancangan Malaysia lima tahun ini akan dipantau dengan menggunakan sistem pemantauan RMK-12 bermula awal tahun depan," katanya.

Berita Harian X