Isnin, 6 Disember 2021 | 6:25pm
 Nik Muhammad Zawawi (kanan) mengadakan lawatan kerja pada program pertanian di Ladang Sungai Ambat, Mersing, hari ini. NSTP/NURUL AMANINA SUHAINI
Nik Muhammad Zawawi (kanan) mengadakan lawatan kerja pada program pertanian di Ladang Sungai Ambat, Mersing, hari ini. NSTP/NURUL AMANINA SUHAINI

'Perbincangan model pertanian pintar di peringkat akhir'

MERSING: Perbincangan berhubung tiga model pengeluaran tanaman secara tertutup yang akan diperkenalkan pada tahun depan bagi meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dalam negara, sudah di peringkat akhir.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industi Makanan, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata setakat ini perbincangan berhubung perkara itu menunjukkan hasil positif.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memang ada peranan dalam perkara ini, tetapi saya enggan mendedahkannya lagi kerana ia membabitkan beberapa pihak, malah kita belum buat (pelaksanaan).

"Perbincangan sudah sampai ke peringkat akhir dan ia positif," katanya selepas mengadakan lawatan kerja pada program pertanian di Ladang Sungai Ambat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mahu memperkenalkan model pertanian pintar sebagai strategi meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dalam negara.

MARDI dalam laporan BH menyifatkan inisiatif itu sebagai strategi untuk meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dalam negara, sekali gus menangani isu kekurangan bekalan sayur disebabkan peningkatan permintaan, perubahan iklim dan bencana alam, sekali gus membantu menstabilkan harga dalam pasaran.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata model berkenaan boleh memberi hasil lima hingga 10 kali ganda berbanding kaedah tanaman secara konvensional dan mesra alam.

"Ia memberikan hasil tinggi, berkualiti dan jangkaan hasil lebih tepat dari segi pengeluaran sepanjang tahun tanpa gangguan disebabkan perubahan cuaca, ancaman perosak atau penyakit.

"Ia sudah dibentang dan diluluskan Lembaga Pengelola MARDI dan akan diperkenalkan pada tahun depan," katanya.

Berita Harian X