Isnin, 6 Disember 2021 | 5:26pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Perluas kaedah pertanian pintar, bantu usahawan tani tempatan

KUALA LUMPUR: Kaedah pertanian pintar wajar diperluaskan bagi menampung keperluan makanan dalam negara yang berada di paras membimbangkan, malah langkah sama diyakini memberi peluang kepada pengeluar tempatan lebih berdaya saing.

Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman, berkata selari dengan situasi semasa dunia yang bergerak ke era kelestarian alam sekitar, kaedah penanaman menggunakan bahan bersifat organik dan mineral adalah langkah tepat perlu dilaksanakan.

"Kebergantungan kepada barangan import apabila menghadapi krisis makanan tidak harus diteruskan kerana ia bersifat ad hoc dan bukan jawapan kepada isu jaminan keselamatan makanan.

"Kita perlu mengurangkan import racun dan baja kimia dari luar negara, dengan cara ini ia memberi peluang kepada pengeluar produk domestik selain harga (bekalan di pasaran) lebih mudah dikawal.

"Jika dibawa dari luar negara, alasan sering diberikan adalah kos naik, perubahan iklim, krisis kesihatan global dan banyak lagi, bahkan negara juga terdedah kepada manipulasi kartel," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan BH hari ini mengenai model pertanian pintar diperkenalkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bermula tahun depan.

Model itu boleh dilaksanakan dalam skala kecil, sederhana atau besar sebagai strategi meningkatkan pengeluaran sayuran dalam negara.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kaedah pertanian pintar, pertanian tepat dan pertanian dalam bangunan sudah dilaksanakan secara meluas di negara maju.

Katanya, negara jiran seperti Singapura misalnya hanya memperuntukkan satu peratus kawasan untuk membangunkan pertanian pintar bagi menampung keperluan makanan.

Sementara itu, beliau menyarankan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Agro Bank yang mempunyai sumber kewangan kukuh digerakkan dalam skala besar bagi memangkin perkembangan pertanian berasaskan teknologi semasa.

"Inovasi dalam teknologi moden harus digembleng dan usahawan tani atau ternak sedia ada yang mengusahakannya dalam kapasiti kecil akibat kekurangan modal juga perlu dibantu.

"Kerajaan juga harus memberi pembiayaan khususnya geran kepada anak muda melalui agropeneur muda. Ada dalam kalangan mereka belajar bidang pertanian moden, tetapi tiada modal. Selain itu, kerenah birokrasi untuk mendapat pembiayaan atau insentif juga perlu dikurangkan kerana ini antara punca ramai belia berputus asa," katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan memaksimumkan kemampuan pakar tempatan untuk berkolaborasi dalam memanfaatkan teknologi moden.

"Bukan sekadar MARDI, tetapi juga melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan kolej pertanian di seluruh negara," katanya.

Berita Harian X