Isnin, 6 Disember 2021 | 2:22pm
Warga sekolah SMTDR Lenggong disahkan dijangkiti COVID-19 menyebabkan sekolah itu ditutup pada 23 November lalu. - Foto ihsan FB SMTDR Lenggong
Warga sekolah SMTDR Lenggong disahkan dijangkiti COVID-19 menyebabkan sekolah itu ditutup pada 23 November lalu. - Foto ihsan FB SMTDR Lenggong

COVID-19 dikesan di SMTDR Lenggong

IPOH: Sebuah lagi sekolah di Perak dilanda jangkitan wabak COVID-19 selepas sesi persekolahan secara bersemuka di Perak kembali dibuka sejak 22 November lalu.

Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong di Lenggong dalam hantaran di Facebook, semalam mendedahkan jangkitan COVID-19 berlaku kepada empat warga sekolah itu pada 23 November lalu.

SMTDR Lenggong adalah satu daripada empat SMTDR di Perak, juga adalah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di Perak dengan aliran Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT).

Untuk rekod, institusi pendidikan di Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah beroperasi semula pada 22 November lalu susulan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.

SMTDR Lenggong menerusi hantaran di Facebook itu yang turut disertakan lebih 20 keping gambar memaklumkan, susulan jangkitan itu sekolah berkenaan ditutup pada 23 November lalu.

Menurut hantaran itu, rentetan daripada penutupan terbabit, pihak sekolah menerima pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan daripada pelbagai pihak bagi membantu pihak sekolah menguruskan pelajar dan warden di asrama.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, setakat kelmarin, penularan COVID-19 berlaku di dua sekolah di Perak iaitu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar serta sebuah sekolah agama di Bagan Datuk.

Bagaimanapun, katanya, sekolah terbabit tidak ditutup dan pelajar yang dijangkiti dikuarantin di asrama berasingan.

Berita Harian X