Isnin, 6 Disember 2021 | 1:07pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Usaha penyelidikan perlu dipertingkat dalam sektor pertanian

KUALA LUMPUR: Walaupun sumbangan sektor pertanian secara relatifnya kepada ekonomi dan perdagangan Malaysia semakin mengecil dari tahun ke tahun, sektor ini kekal signifikan terutama sebagai pembekal utama makanan serta bahan mentah kepada industri berasaskan sumber, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sektor pertanian muncul sebagai sektor kedua terpenting perdagangan Malaysia pada 2020 dengan sumbangan 6.8 peratus, mengatasi perdagangan hasil perlombongan sebagai mana dilaporkan dalam Malaysia Trade Statistics Review (MTSR) 2021.

"(Berikutan kepentingannya itu), usaha penyelidikan perlu dipertingkatkan ke arah teknologi mampan untuk meningkatkan pengeluaran dan kualiti barangan berasaskan pertanian, seterusnya memenuhi keperluan penduduk dan permintaan pasaran dunia," kata Mohd Uzir dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas laporan itu, beliau berkata, berkata MTSR edisi 2021 ini mensintesis prestasi dagangan Malaysia bagi sektor pertanian yang meliputi keluaran pertanian terpilih iaitu minyak kelapa sawit, getah asli, makanan laut, beras di samping indikator lain yang berkaitan sektor pertanian seperti pelaburan, guna tenaga dan pengeluaran.

"Sektor pertanian pernah menjadi penyumbang utama ekonomi Malaysia bersandarkan kepada komoditi getah, namun pada 1980-an, sektor pembuatan muncul sebagai peneraju, diikuti oleh kebangkitan ekonomi berasaskan perkhidmatan pada 1990-an.

"Sumbangan keluaran pertanian kepada jumlah dagangan Malaysia pada 1990 ialah 13.7 peratus, merosot kepada 6.8 peratus pada 2020," katanya.

Mohd Uzir berkata, minyak sawit mendominasi perdagangan sektor pertanian Malaysia sejak 1990 dan pada 2020, ia menyumbang masing-masing 25.8 peratus dan 34.3 peratus kepada pengeluaran dan eksport minyak kelapa sawit dunia.

Beliau berkata, Malaysia pernah menjadi pengeluar getah asli utama dunia pada 1930-an, namun pada 2020 eksport getah asli Malaysia hanya bernilai RM3.3 bilion, 0.3 peratus daripada jumlah eksport.

"(Namun begitu), Malaysia telah mendapat manfaat daripada pandemik COVID-19 apabila muncul sebagai pengeluar utama sarung tangan getah dunia pada 2020 dengan eksport berjumlah RM35.9 bilion, meningkat 104.5 peratus tahun ke tahun," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X