Isnin, 6 Disember 2021 | 11:40am
- Hiasan
- Hiasan

40 kematian akibat COVID-19 semalam

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 40 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 sehingga tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 30,614 orang, daripada 2.65 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW, 10 daripada 40 kes kematian itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut membabitkan angka kematian tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat jangkitan wabak itu atau sebaliknya yang mengambil masa untuk dilengkapkan dalam data KKM.

Sementara itu, laman web terbabit turut mengesahkan terdapat 61,999 kes aktif COVID-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 51,260 individu atau 82.7 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.

"Seramai 5,899 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC)," kongsi laman COVIDNOW.

Dalam pada itu, seramai 207 pesakit COVID-19 atau 42.3 peratus di unit rawatan rapi (ICU) memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pada ketika ini, kadar penggunaan katil di wad ICU di seluruh negara adalah 61.3 peratus atau 471 orang dengan 42.2 peratus adalah pesakit COVID-19.

Sementara itu, bilangan pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital adalah seramai 940 orang, merangkumi 32.2 peratus, berbanding kadar penggunaan katil keseluruhan kira-kira 62.3 peratus.

Semalam, jumlah kes harian kes adalah sebanyak 4,298 kes menjadikan keseluruhan kes 2,658,772 orang.

Berita Harian X