Ahad, 5 Disember 2021 | 3:56pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Tidak benar bekalan ayam kurang di pasaran'

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu adil dalam usaha membantu penternak ayam mengeluarkan hasil mereka dan bukannya terus mengambil keputusan mengimport stok bekalan ayam sejuk beku.

Penasihat Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng, berkata isu bekalan ayam terhad sebenarnya tidak berlaku seperti didakwa, sebaliknya pemantauan punca ia berlaku tidak dijalankan pada peringkat akar umbi.

"Mungkin benar ada di sesetengah tempat, bekalan stok ayam tidak mencukupi, tetapi ia mungkin berlaku hanya di dua tiga tempat saja.

"Sebaliknya, di pasar borong atau pasar raya, bekalan ayam masih mencukupi untuk pengguna atau pembeli mendapatkannya," katanya kepada BH, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Rabu lalu berkata, kerajaan akan membawa masuk antara 200 hingga 300 kontena ayam sejuk beku dari luar negara seawal minggu depan bagi dijual dengan harga lebih murah berbanding ayam segar dari ladang.

Katanya, negara sumber bekalan ayam import itu akan diputuskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kerana terdapat banyak pilihan sama ada dari China atau Thailand.

Keperluan ayam dalam negara sebanyak 3,762 tan (2.09 juta ekor) sehari atau 113,220 tan (62.9 juta ekor) sebulan.

Jeffrey berkata, kekurangan tenaga kerja juga mendorong kepada isu bekalan ayam dilihat terhad dan tidak mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, sebagai penternak ayam, kerajaan perlu memantau secara menyeluruh kerana tindakan mengimport ayam sejuk beku hanya akan memberi kesan kepada golongan penternak.

"Sejak pandemik melanda negara, industri penternakan ayam amat terkesan dan berada dalam keadaan tenat berikutan terpaksa menanggung peningkatan pelbagai kos.

"Ramai penternak kerugian kerana ternakan ayam tiada pembeli dan jika dibeli sekalipun, keuntungan diperoleh tidak menjangkau harga kos.

"Seekor ayam memerlukan sebulan tempoh diternak sebelum dijual dan dalam tempoh itu, mereka terpaksa menanggung kerugian apabila ayam diternak mati.

"Kerugian dialami penternak ibarat kita menjual seekor ayam, namun rugi dua ekor ayam. Ini ditambah lagi dengan kurang permintaan kerana ayam sejuk beku diimport berlambak di pasaran," katanya.

Berita Harian X