Ahad, 5 Disember 2021 | 3:55pm
Petugas perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada penerima warga emas di Butterworth. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
Petugas perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada penerima warga emas di Butterworth. - Foto NSTP/DANIAL SAAD

Kes positif turun kepada 4,298 pesakit

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 4,298 kes positif baharu COVID-19, setakat tengah hari tadi, menurun menurun berbanding 4,896 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah baharu hari ini menyumbang kepada 2,658,772 kes positif, sejak mula dikesan di Malaysia, pada akhir Januari tahun lalu.

Selain itu, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 bagi seluruh negara semalam ialah 0.97, dengan kebanyakan negeri melepasi nilai itu.

Rt tertinggi dicatatkan Perlis iaitu 1.16, diikuti Selangor, Melaka dan Labuan pada 1.00, manakala Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah, masing-masing 0.99.

Beliau berkata, sebanyak 4,275 kes adalah penularan tempatan iaitu 4,125 warganegara (96.5 peratus) dan 150 lagi bukan warganegara (3.5 peratus) manakala 19 daripada 23 kes import yang dilaporkan membabitkan rakyat negara ini dan empat lagi warga asing.

"Daripada 4,298 kes harian yang dilaporkan pada hari ini 75 kes atau 1.7 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5, manakala 4,223 kes atau 98.3 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Sebanyak 471 kes iaitu 378 kes yang disahkan COVID-19 serta 93 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan kini memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Kes memerlukan bantuan pernafasan pula membabitkan 264 pesakit iaitu 172 kes disahkan COVID-19 dan 92 kes lagi membabitkan kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak sembilan kluster jangkitan baharu dikesan hari ini, menyumbang kepada 5,978 kluster setakat ini dengan 5,745 kluster yang sudah ditamatkan dan 233 kluster masih aktif.

Kementerian Kesihatan (KKM) turut melaporkan sebanyak 4,929 kes sembuh hari ini, menjadikan sejumlah 2,566,159 pesakit atau 96.5 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan sudah pulih daripada jangkitan COVID-19.

Berita Harian X