Ahad, 5 Disember 2021 | 2:43pm

KPDNHEP keluarkan kompaun RM17,000 bagi 53 kes

JITRA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun RM17,000 daripada 58 kes ke atas peniaga dalam Op Menu yang dijalankan di seluruh negara setakat ini.

Op Menu yang bermula sejak 6 November lalu sehingga 31 Disember ini menyasarkan peletakan tanda harga jelas dan penggunaan alat timbang masih dalam tempoh penentusahan.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil, berkata antara kesalahan dilakukan termasuklah tidak meletakkan tanda harga, menggunakan alat timbang tidak ditentusahkan atau tamat tempoh serta harga yang mengelirukan.

Beliau berkata, daripada 58 kes itu Sabah antara negeri merekodkan kes tertinggi diikuti Terengganu, Perak, Johor, Selangor, Melaka dan Sarawak.

"Setakat ini pihak KPDNHEP sudah melakukan pemeriksaan sebanyak 4,619 premis di seluruh negara dalam Op Menu ini.

"Kita turut menerima 50 aduan daripada pengguna berkaitan harga makanan dan bahan mentah di negara

ini dan seramai 2,200 pegawai KPDNHEP di seluruh negara digerakkan untuk melakukan pemeriksaan Op Menu dan Op Pasar.

"Lebih 1,000 pegawai pemantau harga melakukan kutipan harga di pasar raya, kedai runcit, pasar awam dan sebagainya manakala tugas penguatkuasa pula mengeluarkan kompaun," katanya.

Dalam pada itu Shamsul Nizam berkata, pemeriksaan Op Pasar turut dilakukan di 1,500 lokasi di seluruh negara ini dan sebanyak 480 barangan direkodkan harga untuk mengenal pasti sama ada berlaku kenaikan atau sebagainya.

Beliau berkata, sekiranya berlaku kenaikan terhadap barangan terbabit, pihaknya akan menyiasat apa sebabnya dan faktor berlaku kenaikan harga terbabit.

"Setakat ini di Kedah, terdapat dua kes yang dikesan tidak meletakkan tanda harga bagi Op Menu.

"KPDNHEP akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) bermula Selasa ini sehingga 31 Disember ini sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini, di samping memastikan kenderaan bekalan di pasaran.

"Selepas 7 Disember ini, sekiranya masih ada peniaga yang menaikkan harga barangan dan melakukan kesalahan dengan tidak meletakkan tanda harga, harga yang mengelirukan serta kesalahan alat timbang, tindakan kompaun akan diambil serta-merta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan harga sayur-sayuran dan barangan bahan mentah di Pasar Awam Jitra, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri (Operasi), Md Nasir Mohamad dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kubang Pasu, K Muniandy.

Sementara itu, Shamsul Nizam berkata, memang berlaku kenaikan harga sayuran-sayuran yang dipercayai berpunca akibat faktor cuaca, kenaikan harga racun dan baja selain beberapa faktor lain.

Katanya, pemantauan dilakukan bukan sahaja terhadap harga semasa di peringkat pemborong, pengeluar, pengedar dan peruncit peniaga malah pemborong serta pengeluar bagi memastikan tidak berlaku kenaikan mendadak.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil (kiri) melakukan pemeriksaan harga telur di Pasar Awam Jitra untuk memastikan harga tidak naik mendadak.- Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil (kiri) melakukan pemeriksaan harga telur di Pasar Awam Jitra untuk memastikan harga tidak naik mendadak.- Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X