X
Ahad, 5 Disember 2021 | 12:30pm
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tengah) meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. -NSTP/MOHD AMIN JALIL
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tengah) meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. -NSTP/MOHD AMIN JALIL

Guna baja organik tanam sayur, elak bergantung komponen import

SEREMBAN: Penggunaan baja organik perlu diperbanyakkan untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada komponen import dalam proses penanaman sayur di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, berkata input pertanian seperti komponen penghasilan baja yang diimport pada harga tinggi turut memberi kesan kepada kenaikan harga sayur-sayuran ketika ini.

"Kita tidak dapat mengawal harga input pertanian ini, justeru pilihan penggunaan baja organik perlu diperbanyakkan bagi jangka panjang. Ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada komponen import dalam penghasilan sayur-sayuran di negara ini," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Peringkat Negeri Sembilan di Pasar Tani Taman Paroi Jaya, di sini, hari ini, beliau berkata, faktor permintaan dan penawaran tidak seimbang antara penyumbang kepada kenaikan harga sayur-sayuran dan makanan di pasaran kebelakangan ini.

Katanya, penghasilan dan pengeluaran produk pertanian berkurangan kerana faktor cuaca serta kesan perubahan iklim dan perkara itu diakui pihak pengeluar sama ada di tanah tinggi atau rendah dalam perbincangan yang diadakan sebelum ini.

"Jika dulu mereka menjangkakan cuaca kering dan boleh menanam tanaman tertentu, tetapi cuaca hujan menyebabkan tanaman rosak selain serangan penyakit. Ini membawa kepada kurangnya penghasilan di pasaran dan kebetulan bertembung pula dengan pembukaan aktiviti ekonomi.

"Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), permintaan hanya kalangan isi rumah, tapi sekarang restoran, pasar malam, pasar tani, majlis sosial dan pergerakan rentas sempadan serta pembukaan sektor pelancongan, mempengaruhi pertambahan pemintaan dan kekurangan penawaran," katanya.

Bagaimanapun, Hasnol yakin kenaikan harga barang makanan mentah itu bersifat sementara dan akan kembali stabil sebaik tamat musim tengkujuh menjelang Mac tahun depan.

Sementara itu, katanya, PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan pengurangan sehingga 20 peratus daripada pasaran, antaranya ayam, ikan, telur, sayur, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan diproses.

"PJKM akan diadakan di lokasi terpilih dan diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah," katanya.

Berita Harian X