X
Sabtu, 4 Disember 2021 | 6:12pm
Orang ramai membeli barangan keperluan di Program Jualan Keluarga Malaysia bertempat di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng. - NSTP/BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Orang ramai membeli barangan keperluan di Program Jualan Keluarga Malaysia bertempat di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng. - NSTP/BALQIS JAZIMAH ZAHARI

PJKM bantu ringan beban peniaga kecil, rakyat pendapatan rendah

IPOH: "Program ini benar-benar membantu kami peniaga kecil yang berpendapatan rendah," kata Rusni Abdullah, 60.

Peniaga kuih tradisional kecil-kecilan itu yang tidak melepaskan peluang membeli barangan pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng hari ini, berkata inisiatif kerajaan itu benar-benar membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan, terutama dalam situasi harga barang mahal ketika ini.

"Kalau beli barang di luar pun tidak dapat beli banyak dan murah sebegini, jadi peniaga kecil macam kami bermasalah. Harga barang mentah dan runcit ditawarkan peniaga di program ini memang terbaik, dapat bantu meringankan beban kami peniaga kecil tepi jalan ini," katanya dari Taman Chandan Desa.

Penduduk dari Pengkalan Pegoh Seberang, Abdul Ghaffar Qurnain mengakui barangan dijual di PJKM adalah lebih murah dan menjimatkan berbanding pasar raya, sekali gus sangat bagus untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barang.

"Kami berharap program ini dapat diteruskan sekurang-kurangnya sebulan dua kali," katanya.

Pembekal barangan mentah di tapak jualan, Ahmad Izzat Abu Hassan mengakui barangan dapat dijual dengan harga lebih murah dan mendapat sambutan menggalakkan pembeli, sekali gus diteruskan dari semasa ke semasa dalam membantu penduduk dan peniaga.

"Ia dapat membantu penduduk dan kami peniaga juga berbesar hati dapat memberi harga yang murah kepada dalam keadaan ketika ini," katanya disokong peniaga barangan basan kering, Syazwan Razak yang berharap PJKM dapat diteruskan dalam membantu rakyat dan peniaga yang terkesan dengan kenaikan harga barangan.

"Pada masa sama, program membantu pengeluar hasil tani," katanya mengakui sambutan pembeli pada program berkenaan sangat menggalakkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri, berkata program itu akan diperluaskan di seluruh Perak kerana membantu meringankan golongan berpendapatan rendah, khususnya di kawasan bandar dan luar bandar.

"Peniaga menawarkan harga lebih rendah 15 hingga 20 peratus lebih rendah daripada pasaran. Kita sedang susun program di kawasan tumpuan orang ramai dan mudah dikunjungi, mungkin di setiap daerah kita akan buat sambutan Jualan Keluarga Malaysia," katanya.

Berita Harian X