Sabtu, 4 Disember 2021 | 5:03pm
Noh (berdiri belakang, tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara SME Bank dan Biforst Logistic Sdn Bhd (Biforst Logistic) pada majlis perasmian Program Jom XCESS SME Bank 2021 Peringkat Wilayah Utara di LICC, Langkawi. - NSTP/Hamzah Osman
Noh (berdiri belakang, tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara SME Bank dan Biforst Logistic Sdn Bhd (Biforst Logistic) pada majlis perasmian Program Jom XCESS SME Bank 2021 Peringkat Wilayah Utara di LICC, Langkawi. - NSTP/Hamzah Osman

Dana RM550 juta untuk usahawan sektor pelancongan

LANGKAWI: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi SME Bank menyediakan peruntukan RM500 juta kepada usahawan sektor pelancongan yang terkesan akibat COVID-19.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata sebanyak RM300 juta telah selesai pembiayaan, manakala baki RM200 juta akan diagihkan kepada pemohon yang layak dalam tempoh terdekat.

"Pada masa sama, kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia menyediakan dana sebanyak RM50 juta lagi untuk membantu usahawan dari sektor sama supaya kembali pulih.

"Tahun depan kita akan tambah lagi peruntukan ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jom XCESS SME Bank 2021 Peringkat Wilayah Utara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Muslimin Yahaya; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) MEDAC, Datuk Zamri Salleh dan Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Terdahulu, pada majlis sama, Noh menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara SME Bank dan Biforst Logistic Sdn Bhd (Biforst Logistic) bagi kerjasama membangunkan pakej pembiayaan komprehensif kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

MoU itu ditandatangani oleh Aria Putera mewakili SME Bank, manakala Biforst Logistic diwakili Pengarah Urusannya, Hamie Appala Nakkiah.

Selain itu, Noh turut menyampaikan surat penyertaan kepada pelanggan bawah Program SRP PEMULIH (SRP-SME Relief Program) dan skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF).

Berita Harian X