Sabtu, 4 Disember 2021 | 4:09pm

Kes baharu COVID-19 catat penurunan

KUALA LUMPUR: Malaysia kembali mencatat penurunan jangkitan baharu COVID-19, iaitu sebanyak 4,896 kes, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia menjadikan jumlah individu yang dijangkiti virus itu meningkat kepada 2,654,474.

Katanya, sebanyak 4,878 adalah penularan tempatan, manakala 18 lagi kes import membabitkan 13 rakyat Malaysia dan lima warga asing.

Beliau berkata, sebanyak 98.4 peratus atau 4,817 kes baharu membabitkan kategori satu dan dua, iaitu tidak mempunyai gejala serta bergejala ringan, dan baki 1.6 peratus (79) pula dalam kategori tiga hingga lima.

"Sebanyak 490 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 358 daripadanya disahkan COVID-19, dan 132 lagi disyaki, kemungkinan serta kes dalam siasatan.

"Sebanyak 269 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 155 disahkan COVID-19, manakala 114 disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, empat kluster baharu COVID-19 dikesan, menjadikan jumlah kluster yang masih aktif ketika ini mencecah 227.

Seterusnya, beliau berkata, sebanyak 4,676 kes sembuh direkodkan, hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) pada peringkat kebangsaan ialah 0.97, dengan Perlis mencatat kadar RT tertinggi 1.16.

Selepas melaporkan 4,879 kes baharu pada 30 November lalu, Malaysia kembali mencatat angka harian melepasi 5,000 selama tiga hari berturut-turut sejak 1 Disember.

Sebanyak 5,439 jangkitan baharu direkodkan pada Rabu lalu, diikuti 5,806 (kelmarin) dan 5,551 (semalam).

Berita Harian X