Sabtu, 4 Disember 2021 | 4:01pm
(Gambar fail) Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - FOT BERNAMA
(Gambar fail) Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - FOT BERNAMA

Maklumat, data jelas Omicron diperoleh 1-2 minggu lagi

SUBANG: Maklumat dan data yang lebih jelas mengenai varian baharu COVID-19, Omicron, dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia merangkumi pelbagai aspek penting termasuk kadar jangkitan, virulens atau kemampuan mengundang penyakit teruk, dan sama ada varian membimbangkan (VOC) itu 'kalis' kesan vaksin.

Beliau menjelaskan sementara menunggu data dan maklumat berkaitan daripada negara lain, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan langkah pencegahan melalui pendekatan kawalan kesihatan awam yang hingga kini disifatkan sebagai 'senjata' ampuh dalam mengekang penularan COVID-19.

"Kita perlu memantau serta memahami dengan lebih terperinci mengenai aspek jangkitan, imuniti dan virulens varian Omicron.

"Diharapkan data serta maklumat lebih jelas daripada negara yang mempunyai prevalen lebih besar (jangkitan Omicron) akan kita peroleh dalam tempoh seminggu dua ini.

"Sementara itu, kita akan meneruskan pelaksanaan langkah yang diumumkan sebelum ini, iaitu kesihatan awam, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan vaksinasi, terutama pemberian dos penggalak kepada kumpulan berisiko tinggi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Luka Global Asia Ketiga 2021, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Dr Rohana Johan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Medical Centre Velocity Kuala Lumpur, Derrick Chan.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, perancangan asal untuk negara beralih ke fasa endemik ialah menunggu hingga semua negeri berada dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Apabila matlamat itu dicapai, beliau berkata, kerajaan melalui jawatankuasa kuartet bersedia mengumumkan beberapa langkah praendemik.

"Namun disebabkan penularan varian Omicron, kita akan melakukan penelitian semula dalam tempoh seminggu dua ini dan membuat penilaian mengenai peralihan ke fasa endemik," katanya.

Mengenai usaha vaksinasi pula, Khairy berkata, pengumuman berhubung keputusan mengisytiharkan pengambilan dos penggalak sebagai status pelalian lengkap, akan dibuat pada minggu depan.

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan pemberian dos penggalak kepada 75 peratus populasi di Malaysia, mampu diselesaikan menjelang Mac tahun depan.

"Usaha ini akan mengambil masa sedikit, melainkan kita memendekkan sela masa untuk pemberian suntikan dos penggalak," katanya.

Berita Harian X