Sabtu, 4 Disember 2021 | 11:13am
Salim Aman menanam sayur di bahu jalan di Taman Paya Rumput Indah, Melaka. - NSTP/NAZRI ABU BAKAR
Salim Aman menanam sayur di bahu jalan di Taman Paya Rumput Indah, Melaka. - NSTP/NAZRI ABU BAKAR

Pesara sedekah sayur ditanam di bahu jalan, tanah terbiar

MELAKA: Ketika harga sayur semakin mahal, Salim Aman, 62, tidak berkira apabila memberi percuma sayur-sayuran ditanamnya kepada penduduk sekitar kejiranan di Taman Paya Rumput Indah dan Kampung Paya Rumput di sini.

Memanfaatkan tanah terbiar dan ruang di bahu jalan di taman berkenaan dengan tanaman kangkung, bendi, cili, serai dan keledek sepanjang lebih 1,000 meter, Salim berkata, dia lebih banyak memberi hasil tani itu secara percuma dan hanya menerima wang jika diberi.

Turut menanam pelbagai jenis pisang, nanas, betik selain tumbuhan herba dan bunga hiasan yang mendapat sambutan amat baik daripada penduduk dan orang ramai, beliau yang bersara daripada syarikat swasta dua tahun lalu, mengusahakannya secara sepenuh masa.

"Selepas isteri meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa tahun lalu, saya melepaskan kemurungan dengan menghabiskan banyak masa di kawasan tanaman terbabit," katanya.

Sebelum ini, pelbagai sayur-sayuran termasuk bayam, kacang, sawi, kalian dan jagung juga diagihkan percuma, namun kini ia mula mengalih kepada tanaman lain mengikut kesesuaian kerana ruang yang agak terhad.

Apa yang melegakan, ramai juga peraih yang datang untuk membeli terutama pisang yang dijualnya dengan harga jauh lebih rendah daripada pasaran.

Menggunakan air paip dari rumah yang berjarak lebih tiga kilometer menerusi paip getah untuk menyiram tanaman, Salim menganggap berbudi kepada tanah mampu membawa pulangan yang memuaskan. Usahanya juga menampilkan pemandangan menghijau di bahu jalan dan kawasan taman perumahan berkenaan.

"Saya buat sendiri kerja-kerja membaja dan meracun selepas solat Subuh, Zuhur dan Asar," katanya.

Berita Harian X