Jumaat, 3 Disember 2021 | 11:58pm
Ismail Sabri Yaakob (tengah) dan Rina menyerahkan Anugerah Khas Paralimpik kepada atlet paralimpik badminton Cheah Liek Hou (kanan) pada Majlis Sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. -- foto BERNAMA
Ismail Sabri Yaakob (tengah) dan Rina menyerahkan Anugerah Khas Paralimpik kepada atlet paralimpik badminton Cheah Liek Hou (kanan) pada Majlis Sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. -- foto BERNAMA

Jumlah OKU berdaftar dengan JKM masih rendah

KUALA LUMPUR: Jumlah orang kelainan upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih rendah, iaitu 587,608 daripada anggaran 4.8 juta populasi orang kelainan upaya (OKU) di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata data JKM hingga 30 November menunjukkan usaha bagi menggalakkan pendaftaran OKU perlu dilakukan secara aktif dan lebih agresif.

"Jumlah ini masih kecil berbanding anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sekurang-kurangnya sebanyak 15 peratus populasi negara adalah dalam kalangan golongan OKU atau 4.8 juta populasi OKU di negara ini.

"Kementerian akan terus berusaha supaya lebih ramai OKU dalam Keluarga Malaysia mendaftar dengan JKM," katanya pada Majlis Malam Kasih OKU Keluarga Malaysia dan Pelancaran Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Dewan Negara mewakili orang kurang upaya (OKU) merangkapPengasas Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Rina berkata, permohonan pendaftaran OKU secara dalam talian dan kad OKU digital melalui inisiatif MyDaftar OKU yang dikeluarkan dalam tempoh 24 jam menggunakan kod QR antara usaha meningkatkan pendaftaran OKU.

"Hingga 30 November 2021, seramai 5,635 OKU menerima kad OKU digital manakala 6,221 orang sedang disantuni.

"Pengurusan pendaftaran kad OKU melalui inisiatif ini juga akan memudahkan OKU tanpa pengisian borang secara manual, pengesahan ketidakupayaaan oleh pakar, pegawai atau pengamal perubatan secara dalam talian sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Rina turut mencadangkan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengiktiraf jurubahasa isyarat sebagai satu profesion tetap.

"Saya mencadangkan JPA mengembangkan peranan jurubahasa isyarat sebagai salah satu skim perkhidmatan awam supaya menjadi satu bidang kerjaya atau profesion tetap.

"Saya pasti pengiktirafan jurubahasa isyarat sebagai satu profesion adalah hadiah sangat bernilai kepada sahabat OKU kerana membuka peluang pekerjaan baharu kepada golongan ini mahupun individu normal lain yang mempunyai kemahiran dalam bahasa isyarat," katanya.

Pada majlis sama, anugerah khas bagi mengiktiraf golongan OKU dan pelbagai pihak yang mempunyai sumbangan besarkepada masyarakat dan negara turut disampaikan.

Bagi sambutan tahun ini, buat julung kali Anugerah Khas Paralimpik diperkenalkan dan lima atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) yang memenangi pingat emas dan perak dalam temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo menerima pengiktirafan itu.

Atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Liek Hou (badminton) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh) yang memenangi pingat emas di Tokyo, dan dua pemenang perak iaitu Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia) menerima sijil penghargaan yang disampaikan Perdana Menteri.

Selain itu, ibu bapa kepada Bonnie, Gustin anak Jenang dan Evylen anak Gelagar dinobatkan Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU. Mereka menerima wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan bagi menghargai jasa dan pengorbanan menjaga anak OKU sehingga mengharumkan nama negara ke persada antarabangsa.

Anugerah lain yang turut disampaikan pada malam itu adalah Anugerah Pusat Dalam Komuniti (PDK) Cemerlang, Anugerah Majikan Prihatin, Anugerah Korporat Prihatin, Anugerah Pencapaian Dasar Satu Peratus OKU Dalam Perkhidmatan Awam dan Anugerah Khas Kreatif.

Berita Harian X