Jumaat, 3 Disember 2021 | 10:37pm
Ismail Sabri Yaakob (tengah) berkongsi cerita dengan kanak-kanak OKU sempena sambutan Hari OKU Sedunia peringkat Kebangsaan 2021 di Kuala Lumpur Convention Centre. Turut kelihatan, Menteri Wilayah, Datuk Seri Shahidan Kassim (belakang dua dari kiri) dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyrakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (belakang 3 dari kiri). - Foto NSTP/Fathil Asri
Ismail Sabri Yaakob (tengah) berkongsi cerita dengan kanak-kanak OKU sempena sambutan Hari OKU Sedunia peringkat Kebangsaan 2021 di Kuala Lumpur Convention Centre. Turut kelihatan, Menteri Wilayah, Datuk Seri Shahidan Kassim (belakang dua dari kiri) dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyrakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (belakang 3 dari kiri). - Foto NSTP/Fathil Asri

Dasar 1 peratus pekerja OKU jadi KPI semua kementerian

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan dasar satu peratus pekerja orang kurang upaya (OKU) dalam sektor awam akan dijadikan penunjuk prestasi utama (KPI) bagi semua kementerian.

Perdana Menteri berkata, penetapan itu dibuat berikutan hanya empat kementerian setakat ini yang mencapai sasaran berkenaan.

"Menyedari bahawa dasar satu peratus OKU dalam sektor awam belum lagi mencapai sasaran, sukacita saya menetapkan bahawa pelaksanaan dasar ini akan dijadikan sebagai penunjuk prestasi bagi semua kementerian dan perlu dicapai pada penghujung tahun 2022.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang telah mencapai sasaran dasar satu peratus pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Kasih OKU Keluarga Malaysia dan Pelancaran Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam ini.

Ismail Sabri melihat hasil kerja OKU yang membuat pameran sempena sambutan Hari OKU Sedunia peringkat Kebangsaan 2021 di Kuala Lumpur Convention Centre. - Foto NSTP/Fathil Asri
Ismail Sabri melihat hasil kerja OKU yang membuat pameran sempena sambutan Hari OKU Sedunia peringkat Kebangsaan 2021 di Kuala Lumpur Convention Centre. - Foto NSTP/Fathil Asri

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Dewan Negara mewakili orang kurang upaya (OKU) merangkap Pengasas Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Ismail Sabri berkata, sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan nilai keterangkuman, lebih banyak ruang dan peluang perlu diberikan untuk memastikan OKU terbabit dalam agenda pembangunan negara.

"Kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan golongan OKU, malah sentiasa mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka terutamanya dalam agenda Keluarga Malaysia kerajaan hari ini.

"Kita semua perlu menyantuni golongan OKU secara adil serta meningkatkan penyertaan mereka di dalam pelbagai bidang," katanya.

Ismail Sabri turut menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta agensi lain yang terbabit dengan inisiatif Bajet 2022 untuk OKU supayamembuat perancangan teliti, mengambil kira pandangan OKU dan merujuk kepada pihak yang mempunyai kepakaran untuk pelaksanaannya kelak.

"Hal ini bagi memastikan setiap ringgit yang disalurkan untuk keperluan OKU dibelanjakan dengan optimum, isu yang telah berbangkit diselesaikan dengan sempurna dan benar- benar sampai kepada penerima manfaat yang direncanakan.

"Sebagai contoh, peruntukan sebanyak RM30 juta untuk menjadikan bangunan-bangunan kerajaan mesra OKU perlu direalisasikan secara holistik oleh kementerian-kementerian lain yang berkaitan bagi membolehkan bangunan terbabit mematuhi undang-undang dan peraturan yang relevan," katanya.

Menyentuh tema Sambutan Hari OKU pada tahun ini iaitu "Kepimpinan dan Penyertaan OKU Menuju Endemik COVID-19", Ismail Sabri berkata, iadipilih bagi menerapkan kepentingan supaya golongan OKU bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ke arah fasa endemik COVID-19.

Jelasnya, pelbagai cabaran dan tekanan yang didepani 'Keluarga OKU'tentunya mengandungi hikmah yang cukup besar, sekali gus menghasilkan peluang kepada kelompok itu untuk terus kental dan berdaya tahan bagi menyesuaikan diri dengan cara hidup norma baharu.

Berita Harian X