Jumaat, 3 Disember 2021 | 6:44pm
Hajiji menunjukkan teks ucapan Belanjawan Sabah 2022. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN SABAH
Hajiji menunjukkan teks ucapan Belanjawan Sabah 2022. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN SABAH

Penjawat awam Sabah terima setengah bulan gaji

KOTA KINABALU: Sabah bakal memberikan bantuan khas sebanyak setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,000 kepada seramai 20,271 orang penjawat awam negeri pada Januari tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata bantuan khas terbabit turut diberikan kepada penjawat awam sementara, kontrak dan Pekerja Sambilan Harian (PSH).

"Saya berharap agar insentif ini akan memberi suntikan semangat kepada penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat," katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak RM3.75 juta diperuntukkan di bawah Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri.

"Peruntukan ini akan dibelanjakan untuk meneruskan agenda pembangunan Kerajaan Elektronik (e-Goverment) dan Program Pembangunan ICT," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh tahun 2022 hingga 2025, kerajaan negeri melalui Sabah Net akan menaik taraf talian internet ke semua pejabat kerajaan kepada rangkaian fiber optik berkelajuan 30Mbps hingga 100Mbps.

Terdahulu, Hajiji berkata, peruntukan sebanyak RM4.596 bilion disediakan bagi menampung perbelanjaan perbekalan dan pembangunan di Sabah bagi tahun depan.

Belanjawan dengan tema 'Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera' terbabit mencatat lebihan bernilai RM110.68 juta berdasarkan unjuran hasil RM4.707 bilion yang disasar diperoleh Sabah pada tahun 2022.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam pembentangan terbabit menyatakan harga purata minyak sawit mentah dan minyak mentah petroleum adalah lebih tinggi berbanding kadar harga yang diramalkan semasa penyediaan Anggaran Hasil 2021.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil tahun ini bertambah sebanyak 9.6 peratus atau RM430.67 juta menjadikan Anggaran Hasil Disemak Tahun 2021 meningkat berbanding anggaran asal hasil tahun 2021.

"Ini bermakna, tahun 2021 bakal melakar sejarah baharu bagi Sabah dengan rekod anggaran hasil negeri tertinggi sejak merdeka dengan jumlah RM4.912 bilion.

"Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil tahun 2021 ini adalah pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk minyak dan gas," katanya.

Beliau berkata, rundingan di antara kerajaan negeri, Persekutuan dan PETRONAS bagi membincangkan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) berjaya dimuktamadkan dan ditandatangani dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X