Jumaat, 3 Disember 2021 | 2:37pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Kedah benar pelancong ke Langkawi

ALOR SETAR: Kedah bersedia untuk menerima kedatangan pelancong asing sempena bermulanya program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Projek Rintis Pulau Langkawi, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, pelancong asing yang tiba di Langkawi juga tidak perlu menjalani kuarantin melainkan mereka mempunyai simptom.

"Saya difahamkan penerbangan terus hari ini tiba dari Singapura. Pelancong ini sudah menjalani ujian saringan COVID-19 dan individu yang negatif saja dibenarkan berlepas ke Langkawi.

"Di Langkawi pun kita akan jalankan ujian RT Saliva, sekiranya ada gejala kita akan jalankan ujian lanjut.

"Selain itu saya turut difahamkan pelancong asing boleh melancong ke tanah besar di negeri ini selepas beberapa hari mereka melancong di Langkawi," katanya kepada BH, hari ini.

Malaysia ketika ini mengenakan larangan kemasukan pelancong dari lapan negara yang telah disenaraikan mempunyai kes daripada varian COVID-19, Omicron.

Bagaimanapun, Malaysia merekodkan kes pertama varian dibimbangi (VOC), Omicron, membabitkan seorang pelajar bukan warganegara yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Penemuan itu disahkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pada sidang media hari ini, sambil memaklumkan pelajar terbabit sudah diarah menjalani kuarantin diri.

Sementara itu Dr Norhayati berkata, Kedah setakat ini masih bebas varian Omicron, namun kerajaan negeri tetap mengambil langkah berjaga-jaga untuk menyekat kemasukan varian itu.

Beliau juga berkata, seramai 23 warga sekolah di negeri ini disahkan positif COVID-19 dengan lebih 10 kes direkodkan membabitkan guru dan pelajar di lima sekolah di daerah Pendang.

"Sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Intan Safinaz dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Temenggung, Pendang, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang dan beberapa sekolah lagi termasuk di daerah lain.

"Setiap sekolah cuma ada seorang atau dua orang saja yang positif kecuali MRSM Pendang membabitkan tiga orang guru.

"Pelajar dan guru yang positif ini diarah menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO) dan mereka dalam keadaan tidak serius," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Hayati menasihatkan masyarakat tidak lalai dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sekiranya berada di dalam majlis sosial atau kenduri.

Berita Harian X