Jumaat, 3 Disember 2021 | 12:48pm

Setiu daerah kedua dilanda banjir

SETIU: Hujan berterusan sesekali lebat sejak kelmarin menyebabkan beberapa kampung di kawasan rendah di negeri ini mulai ditenggelami banjir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, berkata setakat jam 11 pagi ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Setiu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi kini sebanyak tiga termasuk satu di Kuala Nerus.

Katanya, seramai 45 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di tiga PPS berkenaan.

Dua PPS di Setiu adalah Balai Raya Kampung Bari Besar dibuka jam 8 pagi ini membabitkan pemindahan seramai 16 mangsa manakala di PPS Masjid Chalok Kedai pula seramai lima mangsa daripada satu keluarga.

"Keseluruhan mangsa banjir kini seramai 45 orang termasuk 24 daripadanya ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Telipot di Kuala Nerus yang dibuka semalam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Setakat pagi ini, cuaca di seluruh negeri masih lagi hujan lebat di kebanyakan tempat.

Penduduk berjalan meredah banjir di Kampung Chalok Kedai. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Penduduk berjalan meredah banjir di Kampung Chalok Kedai. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Tinjauan BH di Kampung Chalok Kedai di Setiu mendapati, laluan utama ke kampung berkenaan mula dinaiki air lebih satu meter.

Tinjauan juga mendapati penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah dan mudah ditenggelami air bersiap sedia untuk berpindah jika banjir semakin buruk.

Penduduk menaiki lori meredah banjir di Kampung Chalok Kedai. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Penduduk menaiki lori meredah banjir di Kampung Chalok Kedai. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X