Jumaat, 3 Disember 2021 | 11:21am
sayur
sayur

CAP saran pengguna tanam sayur di rumah

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan pengguna di negara ini menanam sendiri sayur-sayuran di kediaman susulan kenaikan mendadak harganya di pasaran sejak kebelakangan ini.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow, berkata menanam sayur-sayuran sendiri akan banyak memanfaatkan pengguna terutamanya apabila kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran dijangka akan berlangsung sehingga sambutan Tahun Baharu Cina akan datang.

Beliau berkata, pengguna di bangunan kediaman bertingkat yang mempunyai ruang terhad boleh turut mengamalkan taman bandar dengan berkesan selagi dapat memastikan tanaman mereka mendapat cahaya matahari mencukupi.

Menanam sayur-sayuran sendiri akan banyak memanfaatkan pengguna terutamanya apabila kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran dijangka akan berlangsung sehingga sambutan Tahun Baharu Cina. -Foto Ihsan CAP
Menanam sayur-sayuran sendiri akan banyak memanfaatkan pengguna terutamanya apabila kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran dijangka akan berlangsung sehingga sambutan Tahun Baharu Cina. -Foto Ihsan CAP

"Menanam sayuran di rumah tidak memerlukan ruangan yang besar malah pengguna boleh memanfaatkan karton susu, botol minuman serta bekas kecil untuk menanam sayur-sayuran berdaun.

"Tumbuhan berbuah seperti bendi, terung, cili dan sayur-sayuran berdaun seperti sawi, kangkung, kailan, bayam dan tanaman saka pudina, pegaga, kesum dan selom boleh ditanam dengan mudah walaupun hanya di balkoni.

"Bagi tumbuhan yang mempunyai akar yang besar seperti bendi dan terung, gunakan tin biskut, botol minyak dan bekas air lima liter sebagai media tanaman asalkan," katanya dalam kenyataan media.

Subbarow berkata, CAP juga menyediakan latihan berkala bagi pertanian bandar untuk pengguna yang berminat untuk belajar menanam sayur-sayuran sendiri di rumah, terutamanya dalam kalangan suri rumah.

CAP juga katanya, sedang dalam proses mengeluarkan baja vermi dan penggalak tumbuhan dan tanah dengan harga berpatutan bagi mereka yang ingin mula berkebun.

Berita Harian X