Khamis, 2 Disember 2021 | 6:45pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. - Foto BERNAMA
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. - Foto BERNAMA

'Cuti Khas Peristiwa ikut undang-undang' - Shahidan

KUALA LUMPUR: Cuti Khas Peristiwa yang diberikan kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan esok, sempena kejayaan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) menjuarai Piala Malaysia dibuat mengikut undang-undang.

Perkara ini dinyatakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Dewan Rakyat, hari ini, susulan pengumuman cuti itu menimbulkan pelbagai reaksi, termasuk daripada Ahli Parlimen yang mempersoalkan kewajaran pemberiannya yang dibuat secara mengejut.

Shahidan berkata, Cuti Khas Peristiwa itu dibuat berdasarkan subseksyen 9 (2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Wilayah Persekutuan.

Katanya, selepas kemenangan KL City menewaskan pasukan Johor Darul Ta'azim (JDT) malam kelmarin, beliau menerima permintaan khususnya daripada warga Wilayah Persekutuan supaya cuti diberikan seperti negeri lain yang pernah memenangi Piala Malaysia sebelum ini.

"Kita tidak beri cuti keesokannya seperti yang dibuat negeri lain, tetapi kita beri tempoh sehingga Jumaat (esok) selepas saya merujuk kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali).

"Jika Yang Berhormat tanya, adakah perkara ini dirujuk kepada Kabinet, kita merujuk kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, dan inilah keputusannya. Saya hanya umum saja," katanya pada sesi penggulungan Bajet 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya.

Semalam, Shahidan mengumumkan esok sebagai Cuti Khas Peristiwa sempena kejayaan pasukan KL City menjuarai Piala Malaysia, bagi meraikan dan memberikan penghargaan kepada semua penyokong yang memberikan komitmen dan sokongan kepada pasukan bola sepak itu dalam mengharumkan nama Wilayah Persekutuan.

Selain itu, Shahidan berkata, beliau dimaklumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bahawa bank tidak akan ditutup esok walaupun Bursa Malaysia ditutup sempena cuti berkenaan.

"Ini adalah penantian selama 32 tahun dan KL City menjadi juara pada edisi ke-100 Piala Malaysia, cukup bermakna," katanya.

Berita Harian X