Khamis, 2 Disember 2021 | 4:32pm
Pengerusi Yayasan Muslimin Malaysia Berhad, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Prof Madya Dr Amir Saharudin pada majlis MOU penubuhan Tabung Cakna Armalah antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Muslimin Malaysia Berhad di Seri Pacific Hotel. Turut hadir Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. - Foto ROHANIS SHUKRI
Pengerusi Yayasan Muslimin Malaysia Berhad, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Prof Madya Dr Amir Saharudin pada majlis MOU penubuhan Tabung Cakna Armalah antara Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Muslimin Malaysia Berhad di Seri Pacific Hotel. Turut hadir Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. - Foto ROHANIS SHUKRI

Hampir RM2 juta dana Wakaf Harta Alih diagih

KUALA LUMPUR: Hampir RM2 juta Dana Wakaf Manqul (Wakaf Harta Alih) sudah diagihkan dengan sebahagian besarnya disalurkan bagi penyediaan peralatan dan kelengkapan hospital yang menjadi rujukan kes COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata dana terbabit juga dimanfaatkan untuk membantu pelajar yang menghadapi kekangan terutama ketiadaan peranti untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Sehingga semalam, seramai 375 pelajar menerima manfaat peranti untuk pelajar di bawah Sijil Wakaf Tunai Pendidikan) dengan dana sebanyak RM264,720.

"Jumlah ini adalah sebahagian daripada penggunaan dana wakaf sepanjang tempoh pandemik di bawah Wakaf Manqul (Wakaf Harta Alih)," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan dana wakaf Manqul.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani kerjasama Penubuhan Tabung Cakna Armalah antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Yayasan Muslimin Malaysia Berhad di sini, hari ini.

Kerjasama itu dimeterai antara Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf Malaysia, Prof Madya Dr Amir Shaharuddin dan Ketua PegawaiYayasan Muslimin Malaysia Berhad, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Idris berkata, program terbabit masih berterusan dan diharapkan dapat membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

Katanya, berkenaan dana peralatan kepada hospital rujukan COVID-19, dana yang sudah diagihkan sebanyak RM1,417,600 di bawah Sijil Wakaf Tunai Kesihatan (PULIH).

"Ia membabitkan empat hospital iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang; Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Ampuan Afzan, (Kuantan) dan Hospital Kajang.

"Program terbabit adalah dana di bawah Sijil Wakaf Tunai Kesihatan yang dimulakan sejak 1 November 2020," katanya.

Dalam pada itu, biarpun Tabung Cakna Armalah baru sahaja ditubuhkan, ia berbeza dengan wakaf Manqul.

"Setiap tabung wakaf mempunyai sasaran yang berbeza, namun pada asasnya untuk diagihkan kepada kumpulan sasaran yang memerlukan," katanya.

Berita Harian X