Khamis, 2 Disember 2021 | 1:52pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Majikan swasta digalak beri cuti am bergaji esok

KUALA LUMPUR: Majikan sektor swasta digalak memberi cuti am bergaji kepada pekerja susulan pengisytiharan hari pelepasan am tambahan bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan esok.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata ia kerana hari pelepasan am tambahan yang diisytiharkan itu bukan hari kelepasan am bergaji yang wajib diberikan menurut seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955 [Akta 265].

"Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengisytiharkan hari pelepasan am tambahan bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena kejuaraan pasukan KL City FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2021.

"Pengisytiharan hari kelepasan am itu dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369] bagi Wilayah Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Shahidan mengumumkan esok sebagai Cuti Khas Peristiwa sempena kejayaan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) menjuarai Piala Malaysia selepas menewaskan Johor Darul Ta'azim (JDT) kelmarin.

Beliau berkata, pemberian Cuti Khas Peristiwa dibuat sebagai tanda meraikan dan memberikan penghargaan kepada semua penyokong yang memberikan sepenuh komitmen dan sokongan kepada KL City FC dalam mengharumkan nama Wilayah Persekutuan.

Katanya, Cuti Khas itu membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Berita Harian X