Khamis, 2 Disember 2021 | 1:50pm
Pengerusi Yayasan Muslimin Malaysia Berhad, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Prof Madya Dr Amir Saharudin pada majlis MOU penubuhan Tabung Cakna Armalah. Hadir sama Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. - NSTP /ROHANIS SHUKRI.
Pengerusi Yayasan Muslimin Malaysia Berhad, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Prof Madya Dr Amir Saharudin pada majlis MOU penubuhan Tabung Cakna Armalah. Hadir sama Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. - NSTP /ROHANIS SHUKRI.

YWM urus dana bantu ibu tunggal

KUALA LUMPUR: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bertanggungjawab menguruskan dana bagi Tabung Cakna Armalah yang diwujudkan untuk membantu golongan ibu tunggal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata tabung terbabit bermatlamat memberi perluasan segmen dan skop kepada produk sedia ada di YWM.

"Penambahan segmen itu adalah nilai tambah yang meletakkan golongan armalah iaitu ibu tunggal yang diceraikan atau kematian suami, sebagai golongan sasaran penerima dibantu memiliki kehidupan lebih baik.

"Menerusi tabung itu, program pendanaan dan pelaksanaan sinergi pemerkasaan kehidupan golongan armalah dipertingkatkan.

"Ini membabitkan segmen pendidikan, bantuan perniagaan, keperluan kehidupan asasi dan menyantuni golongan orang kurang upaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani kerjasama Penubuhan Tabung Cakna Armalah antara YWM dan Yayasan Muslimin Malaysia Berhad di sini, hari ini.

Kerjasama itu dimeterai antara Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf Malaysia, Prof Madya Dr Amir Shaharuddin dan Ketua Pegawai Yayasan Muslimin Malaysia Berhad, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Idris berkata, kerjasama kedua-dua pihak diharap memberi hasil dan impak positif serta signifikan.

"Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan terus menumpukan usaha melatih kemahiran keusahawanan, bermatlamat mengeluarkan golongan penerima bantuan kepada pemberi menerusi hasil kejayaan dikecapi.

"Malah, YaPIEM berhasil mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) 100 harinya iaitu melahirkan 8,600 usahawan menerusi programnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amir berkata, kutipan waqaf tunai di seluruh negara ini masih rendah dengan tahun ini hanya mencatatkan kira-kira RM50 juta.

"Mengikut maklumat yang dikumpulkan YWM bagi dana waqaf tunai yang dikutip seluruh negara hanya RM50 juta bagi tahun ini.

"Ini adalah usaha mempertingkatkan kutipan dana bagi membantu masyarakat yang memerlukan bantuan," katanya.

Beliau berkata, YWM menyasarkan kutipan RM180,000 bagi tabung itu untuk memanfaatkan 60 penerima yang bakal menerima keperluan peralatan.

Berita Harian X