Khamis, 2 Disember 2021 | 11:11am

Graduan perubatan di bawah unjuran keperluan KKM - Noraini

KUALA LUMPUR: Jumlah graduan perubatan yang dihasilkan universiti awam (UA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) tempatan ketika ini berada di bawah unjuran keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata Pelan Strategik KKM 2016–2020 menetapkan sasaran nisbah doktor perubatan kepada penduduk di Malaysia menjelang 2025 adalah sebanyak 1:400.

Katanya, pada tahun lalu, seramai 2,967 graduan perubatan dihasilkan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan, merangkumi 958 graduan dari UA dan 2,009 graduan dari IPTS.

"Bagi mencapai sasaran nisbah yang ditetapkan KKM, keperluan tambahan setiap tahun adalah seramai 4,000 orang.

"Mengikut statistik sedia ada, keluaran graduan perubatan tempatan berada di bawah unjuran keperluan KKM.

"Bagaimanapun, di bawah Akta Perubatan 1971, semua graduan perubatan termasuk dari luar negara wajib mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) untuk menjalani khidmat wajib," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang bertanya mengenai jumlah graduan yang tamat pengajian di bidang Fakulti Perubatan dan Fakulti Undang-undang IPTA dan IPTS pada 2020 hingga 2021 dan sama ada angka itu melebihi keperluan pasaran kerja.

Noraini berkata, bagi memastikan satu imbangan yang sihat antara keperluan dan permintaan pasaran kerja serta aspirasi negara, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa memantau pengambilan pelajar Sarjana Muda Perubatan, yang kini ditetapkan berdasarkan kepada kapasiti IPT dan tertakluk kepada kuota oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

Sementara itu, bagi Program Undang-undang, beliau berkata, seramai 1,704 graduan dihasilkan IPT tempatan membabitkan 1,098 graduan UA dan 606 graduan IPTS.

Ketika ini moratorium program undang-undang yang dilaksanakan hampir 15 tahun masih lagi berkuat kuasa.

"Secara relatifnya ratio nisbah peguam kepada penduduk Malaysia adalah selaras dengan nisbah peguam kepada penduduk di beberapa negara lain.

"Berdasarkan unjuran peningkatan penduduk negara ini, seorang peguam berkhidmat kepada 1,305 penduduk (1:1,305) pada 2020, berbanding 1:1,857 pada 2016," katanya.

Seramai 2,967 graduan perubatan dihasilkan IPT tempatan merangkumi 958 graduan dari UA dan 2,009 graduan dari IPTS. - Foto NSTP
Seramai 2,967 graduan perubatan dihasilkan IPT tempatan merangkumi 958 graduan dari UA dan 2,009 graduan dari IPTS. - Foto NSTP
Berita Harian X