Khamis, 2 Disember 2021 | 9:59am
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

DPMM rayu kerajaan bantu PMKS, rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan dirayu mencari jalan terbaik membantu rakyat terutama peniaga Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera dan Melayu.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) ,Abd Halim Husin, berkata ia berikutan ekonomi negara masih menguncup sebanyak 4.5 peratus pada Julai hingga September lalu berbanding pertumbuhan sebanyak 16.1 peratus pada suku sebelumnya.

Justeru katanya, bagi membantu PMKS, antara bentuk bantuan boleh diberikan adalah membenarkan penangguhan bayaran sewa, tidak mengusir mereka atau mengisytiharkan muflis sekurang-kurangnya enam bulan selepas tempoh moratorium berakhir.

"Agensi boleh mengambil langkah pembekuan pembayaran atau pengecualian bayaran caj utiliti, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama enam bulan untuk sektor PMKS serta tawaran rebat oleh operator telekomunikasi untuk untuk panggilan selain penggunaan internet tanpa wayar.

"Selain itu, kerajaan perlu memastikan syarikat perbankan melonggarkan syarat kewangan supaya lebih banyak PMKS menerima bantuan dan kemudahan kredit.

"Agensi berkaitan juga perlu menyediakan dana pusingan untuk pemulihan dan pembangunan PMKS Bumiputera.

"Ia dikendalikan secara bersama Kementerian Kewangan dan NGO Ekonomi Bumiputera sebagaimana kejayaan pelaksanaan Tabung Pemulihan Usahawan 1984-1986 yang menangani krisis ekonomi ketika itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Halim berkata, pihaknya menghargai dan menyokong pengumuman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menangguhkan Bayaran Anggaran Cukai (CP204) dan Skim Bayaran Ansuran (CP500) bagi PMKS mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2022.

Katanya, penangguhan bayaran itu adalah sebahagian daripada beberapa cadangan pemulihan ekonomi disarankan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) kepada kerajaan.

"DPMM turut mencadangkan kerajaan membantu kehidupan masyarakat seperti pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada mereka berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.

"Bantuan ini seharusnya dapat dinikmati bersama sektor ekonomi tidak formal termasuk pertanian," katanya.

Berita Harian X