Rabu, 1 Disember 2021 | 7:48pm
KL City meraikan kejayaan memenangi Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.
KL City meraikan kejayaan memenangi Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.

Piala Malaysia: Wilayah Persekutuan cuti Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan diisytiharkan cuti pada Jumaat ini, susulan kejayaan pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC merangkul kejuaraan Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Perkara itu diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dalam satu sidang media di Putrajaya yang turut disiarkan menerusi akaun Facebook miliknya, petang tadi.

"Kemenangan semalam adalah pencapaian terbaik buat KL City FC setelah 32 tahun penantian untuk menjuarai Piala Malaysia yang mana kali terakhir kemenangan adalah pada 1989.

"Justeru, adalah dimaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju supaya hari Jumaat 3 Disember 2021, diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena kejuaraan pasukan KL City FC.

"Pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan ini dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 bagi Wilayah Persekutuan," katanya.

KL City merangkul kejuaraan Piala Malaysia musim ini selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0 pada aksi final.

Berita Harian X