Rabu, 1 Disember 2021 | 6:34pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

COVID-19: Angka harian lepasi 5,000 kes

PUTRAJAYA: Angka harian kes COVID-19 di negara ini kembali melepasi 5,000 dengan 5,439 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

--

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak berkenaan kini mencecah 2,638,221 kes.

Katanya, sebanyak 5,418 kes membabitkan penularan tempatan, manakala 21 lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini (semalam), 5,334 kes terdiri pesakit COVID-19 kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

"Sejumlah 105 kes bersamaan 1.9 peratus pula pesakit kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya daripada jumlah kes aktif di negara ini, sebanyak 500 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 400 kes disahkan COVID-19 dan 100 lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi kes dirawat di ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sehingga kini terdapat 258 kes iaitu 161 kes disahkan COVID-19 dengan 97 kes lagi masih disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Mengenai pertambahan enam kluster baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata, ia menjadikan sehingga kini terdapat 226 kluster penularan COVID-19 yang masih aktif di negara ini.

"Setakat tengah hari ini, terdapat 6,803 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 2,544,007 individu sudah pulih sepenuhnya daripada virus ini," katanya.

Berita Harian X