Rabu, 1 Disember 2021 | 4:32pm

Tangguh fasa endemik tidak jejas sektor pengangkutan

SEPANG: Keputusan kerajaan menangguhkan sementara peralihan ke fasa endemik ekoran penularan varian baharu COVID-19, Omicron tidak menjejaskan sektor pengangkutan negara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata kementerian akur dengan keputusan Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 itu.

"Semalam saya pun hadir (mesyuarat itu). Cuma untuk lihat ke arah endemik ini memang ada strateginya, saya rasa itu tidak menjadi masalah," katanya kepada pemberita selepas perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) di sini, hari ini.

Kompleks berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi.

Ka Siong berkata, pada masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat pemerhatian dan penilaian mengenai situasi dalam negara.

Semalam BH melaporkan kerajaan memutuskan untuk memperhalusi semula langkah bagi mengumumkan fasa 'Peralihan ke Endemik' sehingga mendapat maklumat lanjut berhubung varian baharu COVID-19, Omicron.

Berita Harian X