Rabu, 1 Disember 2021 | 2:41pm
Mohd Ridzuan (tengah) ketika melakukan pemeriksaan dalam Ops Pasar di Kompleks Pasar Awam Bayan Baru dan Pasaraya Sunshine Bayan Baru di sini, hari ini. - Foto NSTP/Mikail Ong
Mohd Ridzuan (tengah) ketika melakukan pemeriksaan dalam Ops Pasar di Kompleks Pasar Awam Bayan Baru dan Pasaraya Sunshine Bayan Baru di sini, hari ini. - Foto NSTP/Mikail Ong

Siasatan harga sotong goreng RM100 selesai - KPDNHEP Pulau Pinang

GEORGETOWN: Siasatan mengenai hidangan dua sotong goreng yang dijual pada harga RM100 di sebuah restoran nasi kandar di Lebuh Campbell, di sini, sudah selesai.--

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar, berkata keputusan hasil siasatan itu akan dirujuk kepada KPDNHEP di Putrajaya bagi dipertimbangkan.

"Siasatan terhadap harga sotong goreng itu sudah selesai, cuma menunggu pertimbangan pihak kementerian.

"Keputusan akan dirujuk dulu kepada (KPDNHEP) Putrajaya bagi memastikan analisa itu bersesuaian," katanya selepas mengadakan pemeriksaan Op Pasar dan Op Menu di Pasar Awam Bayan Baru dan Pasaraya Sunshine Square, di sini, hari ini.

Mohd Ridzuan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan pemilik restoran berkenaan melanggar akta pencatutan berhubung harga sotong goreng itu.

Sebelum ini, media melaporkan resit pembelian sotong goreng itu yang dijual pada harga RM100 bagi dua ekor, tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, pemilik restoran di Kepala Batas yang menjual kailan ikan masin berharga RM18 perlu mengemukakan maklum balas Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) selewat-lewatnya pada hari ini.

"Notis itu dikeluarkan pada 28 November lalu dan pemilik restoran perlu mengemukakan maklum balas selewat-lewatnya hari ini.

"Jika gagal mengemukakan maklumat mengenai harga itu, satu lagi notis akan dikeluarkan kepada pemilik restoran terbabit," katanya.

Dalam perkembangan Op Menu, Mohd Ridzuan berkata, daripada 372 restoran dan kedai makan yang diperiksa, sebanyak dua kes dengan nilai kompaun RM500 sudah dikeluarkan.

"Pemeriksaan dilakukan bagi pematuhan penandaan harga dan tempoh sah penentusahan alat timbang dan sukat.

"Pemilik restoran dan kedai makan perlu memastikan penandaan tanda harga pada menu makanan dan penggunaan alat timbang yang sah tempoh penentusahan bagi membantu pelanggan mengetahui garga dan berat ketika membuat tempahan makanan," katanya.

Berita Harian X