Rabu, 1 Disember 2021 | 12:02am
Azman membuat pemeriksaan di sebuah restoran ketika penguatkuasaan OPS Menu bagi membendung kenaikan harga makanan di Sepang.- NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Azman membuat pemeriksaan di sebuah restoran ketika penguatkuasaan OPS Menu bagi membendung kenaikan harga makanan di Sepang.- NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

45 restoran kena tindakan sepanjang OPS Menu

SEPANG: Sebanyak 45 daripada 4,064 restoran yang diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi OPS Menu bermula 6 November lalu, dikenakan tindakan membabitkan pelbagai kesalahan.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata semua peniaga terbabit dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 serta Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

"OPS Menu yang dilaksanakan sejak 6 November memberi tumpuan kepada restoran dan tanda harga dipamerkan di premis mereka adakah sama dengan menu dijual.

"Dalam operasi dijalankan hari ini, terdapat restoran mempamerkan tanda harga, namun tidak sama dengan harga jualan menu.

"Perbezaan pada tanda harga dengan jualan menu melebihi 50 hingga 60 sen, adalah satu kelakuan yang mengelirukan pengguna, jadi kita ambil tindakan terhadap peniaga berkenaan," katanya selepas melakukan pemeriksaan OPS Menu di sekitar Kota Warisan, hari ini.

Azman berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan mengerahkan lebih 2,200 penguat kuasanya di seluruh negara memastikan setiap peniaga mematuhi undang-undang, sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna untuk membeli barangan.

"KPDNHEP tidak akan memberi amaran kepada peniaga yang didapati melanggar undang-undang dikuatkuasakan kerana dengan sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah.

"Sebaliknya kita akan terus mendakwa mereka ke mahkamah dan mengenakan kompaun mengikut AKHAP 2011. Mana-mana peniaga yang dikesan melakukan kesalahan mencatut mengikut Seksyen 14(1) AKHAP 2011 boleh didenda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat.

"Bagi individu pula, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita Harian X