Selasa, 30 November 2021 | 9:08pm

'Sayap belia PBSM boleh guna semua fasiliti KBS'

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus menyokong usaha dilakukan sayap belia Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), yang banyak terbabit dalam pelbagai aktiviti membantu belia dan pelajar sekolah terutama ketika pandemik COVID-19.

Ini susulan hasil luar biasa kumpulan belia dalam PBSM yang mampu mengumpulkan lebih 240,000 belia dalam pasukan berkenaan dan menggerakkan 320,000 sukarelawan terbabit dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kementeriannya membenarkan kumpulan belia PBSM menggunakan segala fasiliti dan kemudahan milik KBS untuk digunakan persatuan berkenaan.

"Sebenarnya ada banyak ruang untuk KBS membantu PBSM menggerakkan kumpulan belia mereka dan berdasarkan pencapaian sudah dilakukan terutama sebelum dan ketika pandemik COVID-19 melanda negara, kita yakin mereka mampu membawa pembaharuan kepada generasi pelajar sekolah serta remaja.

"Malah sayap belia dalam PBSM ini juga turut mampu menggerakkan kumpulan belia di seluruh negara melalui pelbagai platform media sosial mereka termasuk saluran YouTube, MRC TV bagi menyalurkan pendidikan kemanusiaan dan segala maklumat serta panduan," katanya selepas melawat Ibu Pejabat Kebangsaan PBSM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Ahmad Faizal berkata, kerjasama KBS dan kumpulan belia PBSM ini mampu membina satu panduan dan revolusi positif kepada sebahagian kumpulan belia yang mudah terpengaruh dengan maklumat salah diperoleh daripada media sosial.

"Saya sudah jumpa satu pasukan menakjubkan dan percaya KBS mempunyai banyak ruang yang membolehkan jalinan kolaborasi dengan PBSM, sekali gus mewujudkan lebih banyak program bermanfaat demi kebaikan belia bukan saja dalam bidang perubatan, malah semangat sukarelawan dalam misi kemanusiaan dan bencana.

"Program antikeganasan juga boleh dilakukan bersama bagi memupuk nilai murni dalam kalangan jiwa belia," katanya.

Ahmad Faizal (tengah) memeriksa perbarisan sebaik tiba bagi melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia.- NSTP/OWEE AH CHUN
Ahmad Faizal (tengah) memeriksa perbarisan sebaik tiba bagi melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia.- NSTP/OWEE AH CHUN
Berita Harian X