Selasa, 30 November 2021 | 4:58pm

Agro Tradzt mampu kurangkan peranan orang tengah

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yakin platform e-dagang Agroproduk Bersepadu, Agro Tradzt mampu menurunkan harga produk agromakanan, sekali gus menstabilkan pasaran tempatan. 

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata ini kerana Agro Tradzt menampilkan model perniagaan penjualan secara terus daripada pengeluar kepada entiti perniagaan atau pengguna pada kadar lebih rendah berbanding pasaran. 

Beliau berkata, platform itu antara lain mampu mengurangkan kadar kebergantungan pengeluar kepada orang tengah bagi memasarkan produk, selain memastikan mereka mampu menikmati keuntungan pada tahap maksimum. 

Selain itu, katanya, platform berkenaan akan memudahkan penjualan hasil perusahaan dilakukan petani, peladang dan penternak tanpa dimanipulasi orang tengah. 

"MAFI menggalakkan pertumbuhan platform e-dagang seperti ini sesuai dengan aspirasi kementerian melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).   

"Saya harap platform ini dapat diguna pakai semua pihak, terutama dalam kalangan petani, nelayan dan penternak untuk memasarkan hasil secara terus kepada pembeli, sama ada entiti perniagaan atau orang persendirian. 

"Kita juga mahu platform e-dagang ini dapat terus bergerak seiring perubahan teknologi semasa dan kehendak kerajaan untuk mengurangkan peranan orang tengah dalam keseluruhan rantaian nilai sektor agromakanan domestik," katanya ketika melancarkan Agro Tradzt di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah serta Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Sementara itu, Ronald berkata, Agrobazaar Online diuruskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan nilai jualan produk asas tani hampir RM4 juta, manakala hampir RM1 juta di kedai dalam talian Agrobazaar Malaysia di Shopee dan AirAsia Farm antara Januari 2020 hingga 31 Oktober lalu.

Katanya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melalui Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) turut melaksanakan inisiatif pemasaran secara digital melalui laman sesawang 'nekmatbiz' serta media sosial dengan menawarkan perkhidmatan penghantaran pesanan terus ke rumah pengguna.

Melalui platform itu, beliau memaklumkan, LKIM mencatatkan nilai jualan hampir RM400,000 bagi tempoh September 2019 sehingga 31 Oktober lalu.

"Melalui kerjasama awam swasta sebegini, MAFI percaya ia dapat membantu mempercepatkan pengenalan inovasi digital, transformasi industri digital dan mewujudkan situasi menang-menang untuk semua pemegang taruh.

"Dalam hal ini, sudah tentu platform seumpama Agro Tradzt akan melengkapi usaha MAFI dalam terus mempertingkatkan kebolehpasaran dan kebolehdapatan produk pertanian," katanya.

Beliau berkata, kerjasama strategik MAFI dan swasta akan terus diperkukuh bagi memastikan pencapaian kemajuan berterusan sektor pertanian dan industri makanan domestik yang akan menyumbang kepada peningkatan tahap sekuriti makanan negara secara keseluruhan.

"Langkah bersepadu dan holistik menerusi pendekatan 'whole of nation' sudah tentu akan memastikan sistem makanan negara kekal utuh sepanjang masa menghadapi sebarang ketidaktentuan," katanya mengajak pihak swasta dan penggiat industri untuk terus bersama-sama kerajaan dan mencipta teknologi sedemikian.

Katanya, teknologi seumpama itu pastinya akan dapat meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan rakyat.

 Ronald Kiandee berucap pada Majlis Pelancaran Platform e-dagang Agro Tradzt, hari ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Ronald Kiandee berucap pada Majlis Pelancaran Platform e-dagang Agro Tradzt, hari ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X