Selasa, 30 November 2021 | 1:54pm
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa

Kerajaan sedia bincang cadangan perluas skim rehabilitasi sewa beli

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai cadangan memperluaskan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi kepada pengusaha bas dan teksi yang gagal mendapatkan skim bantuan itu sebelum ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, berkata sehingga 31 Oktober lalu, hanya RM505 juta daripada RM1 bilion yang tersedia di bawah skim itu atau bersamaan 1,492 akaun peminjam sudah digunakan.

"Ini bermaksud masih ada baki peruntukan sebanyak RM495 juta untuk dimanfaatkan oleh pengusaha bas dan teksi. Sehingga kini, hanya lapan syarikat kredit terbabit dalam skim berkenaan.

"Pada 17 November lalu, kerajaan bersetuju memanjangkan lagi skim rehabilitasi yang pada awalnya tamat pada 31 Disember ini dilanjutkan sehingga keseluruhan had jaminan pembiayaan habis digunakan," katanya menjawab soalan tambahan P Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan asal, beliau berkata, kerajaan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan nilai peruntukan RM1 bilion, di bawah Pakej Bantuan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi membantu pengusaha bas dan teksi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Melalui skim itu, katanya, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan bayaran balik lebih murah serta menyediakan 50 peratus jaminan daripada jumlah had pembiayaan RM1 bilion ke atas kemudahan kredit sewa beli yang disusun semula.

"Bagi tujuan ini, kerajaan sudah menyediakan jaminan sehingga 50 peratus daripada jumlah had pembiayaan sebanyak 1 bilion ringgit. Setakat ini belum ada pelan tindakan untuk menyenaraihitamkan syarikat kredit," katanya.

Berita Harian X