Selasa, 30 November 2021 | 1:05pm
Pengunjung memberi makanan sambil bermain dengan spesies ikan di santuari ikan Kuala Sat, Ulu Tembeling - Foto NSTP/Roselan AB Malek
Pengunjung memberi makanan sambil bermain dengan spesies ikan di santuari ikan Kuala Sat, Ulu Tembeling - Foto NSTP/Roselan AB Malek

Santuari ikan Kuala Sat pikat pengunjung

JERANTUT: Usaha penduduk Kampung Kuala Sat di Ulu Tembeling mengusahakan santuari ikan air tawar sejak empat tahun lalu, kini berhasil.

Pengunjung santuari itu kini boleh mandi sambil bermain-main dengan pelbagai spesies ikan sekali gus menjadikan Kampung Kuala Sat menjadi tumpuan pelancong selepas rentas negeri dibenarkan semula

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah, 58, berkata, santuari itu diwujudkan menerusi Program MyKomuniti Perikanan (MyKP) membabitkan semua penduduk.

"Menerusi Program MyKomuniti Perikanan (MyKP) di bawah penyeliaan JPP lebih 100,000 ikan dilepaskan sejak beberapa tahun lalu dan penduduk di sini diamanahkan untuk menjaga bagi tujuan pembiakan spesies ikan air tawar bagi tujuan ekopelancongan.

"Ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu dan musim banjir pada penghujung tahun, santuari ini ditutup sementara dan mulai bulan lalu dibuka semula dengan kebenaran pihak berkuasa," katanya.

Abdul Jabar berkata, spesies ikan yang dilepaskan dan dipulihara dalam santuari MyKP ini, iaitu ikan lampam yang agak jinak dan boleh dipegang, tetapi ikan kerai, tengalan, kelah agak sukar 'disentuh' cuma boleh bermain apabila diberikan makanan oleh pengunjung.

Pengunjung hanya perlu membeli makanan ikan yang disediakan oleh penjaga satuari di situ dan kemudian turun ke anak Sungai Sat yang cetek untuk memberikan makanan dan dalam tempoh beberapa saat sahaja banyak ikan liar mula berkerumun dekat kaki pengunjung.

Abdul Jabar berkata, penggiat dan pengusaha ekopelancongan di situ bertuah kerana Jabatan Perikanan Pahang (JPP) mewujudkan santuari ikan semata-mata bagi tarikan pengunjung sejak beberapa tahun lalu.

Seorang pengunjung dari Puchong, Arman Abdullah, 45, berkata, dia memilih kampung tradisional Melayu Kuala Sat untuk membawa keluarga bersiar pada cuti hujung minggu.

"Sejak semalam singgah menginap di sini, saya dan keluarga terus ke santuari ikan MyKP kerana anak-anak mahu bermain dengan pelbagai spesies ikan liar.

"Nyata tidak menghampakan, kami sekeluarga berendam dalam air hampir sejam bermain dengan ikan liar serta mandi-manda dan berkelah sambil menikmati makanan tradisional kampung di tepi Sungai Sat," katanya.

Berita Harian X