Selasa, 30 November 2021 | 11:29am

Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera terus diberi keutamaan - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera terus diberi keutamaan oleh kerajaan menerusi peruntukan sebanyak RM11.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera dalam Bajet 2022, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, daripada peruntukan dalam bajet bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' itu, sebanyak RM4.8 bilion dikhususkan untuk pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan.

Katanya, peruntukan itu akan disalurkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

"Saya percaya melalui peruntukan yang diterima, PUNB akan mengukuhkan lagi strategi pembangunan perniagaan Bumiputera agar dapat melahirkan usahawan berdaya tahan dan progresif sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya pada Program 'Ikon Inspirasi Impian' anjuran PUNB secara maya hari ini.

Turut serta, Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin.

Melangkah ke depan, Ismail Sabri menyeru usahawan menggunakan teknologi terkini dalam perniagaan untuk meningkatkan produktiviti, memberi jaminan dari segi kestabilan, kelestarian dan daya tahan perniagaan selain peluang pasaran tanpa sempadan.

Beliau berkata, sebagai contoh, usahawan Bumiputera, Azarol Faizi, pemilik syarikat Bateriku (M) Sdn Bhd yang juga adalah usahawan PUNB, yang sebelum ini menjalankan perniagaan secara konvensional, namun berubah ke platform digital sepenuhnya melalui pembangunan aplikasi mudah alih Bateriku.Com.

"Langkah berani yang diambil ini bukan saja memberi pengalaman pelanggan yang lebih baik malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan melalui ekonomi gig kepada anak tempatan di seluruh negara. Syabas saya ucapkan," katanya.

Ismail Sabri berkata, persekitaran perniagaan yang mencabar masa kini turut memerlukan usahawan untuk menjadi lebih kreatif dan berinovasi dalam penghasilan produk dan perkhidmatan.

Beliau berkata, dua elemen itu penting untuk mengekalkan jenama perniagaan dalam pasaran, selain meningkatkan hasil jualan dan kepercayaan pelanggan.

Katanya, jika dilihat pada hari ini, makanan dan minuman (F&B) adalah antara industri yang sentiasa berinovasi bagi memenuhi kehendak semasa dan cita rasa pelanggan tempatan, sebagai contoh, kuih tradisional Melayu iaitu ondeh-ondeh atau buah melaka dipelbagaikan menjadi pelbagai pencuci mulut seperti aiskrim dan perisa dalam minuman.

"Strategi ini amat bijak kerana pengusaha bukan saja menghasilkan produk baharu tetapi pada masa yang sama turut memartabatkan lagi kuih tradisi turun-temurun yang menjadi kegemaran Keluarga Malaysia.

"Justeru, kita perlu sentiasa melatih diri dan berfikiran luar kotak agar perniagaan diusahakan berdaya maju dan berdaya saing dalam dunia yang semakin mencabar ini.

"Jika kurang berkemahiran, jangan segan untuk menjalin hubungan kerjasama dengan mana-mana pihak berkaitan agar idea anda dapat direalisasikan," katanya.

Ismail Sabri berkata, usahawan juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu keusahawanan yang terkini bagi memastikan kelangsungan dan meningkatkan taraf perniagaan.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan sebarang kekangan yang dihadapi selain membuka ruang kepada perniagaan untuk terus berkembang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - NSTP/ARKIB
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - NSTP/ARKIB
Berita Harian X