Isnin, 29 November 2021 | 4:26pm

Kes COVID-19 kekal bawah 5,000

PUTRAJAYA: Angka penularan kes COVID-19 di negara ini kekal di bawah 5,000 dengan 4,087 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan sehingga kini sebanyak 2,627,903 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.

"Daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 4,015 kes atau 98.2 peratus adalah pesakit dalam kategori 1 dan 2 iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

"Bakinya 72 kes (1.8) peratus berada dalam kategori 3 hingga 5 iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal.

"Secara keseluruhannya, daripada jumlah kes aktif di negara ini, sebanyak 507 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 401 kes disahkan COVID-19 dengan 106 kes adalah disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes di ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sehingga kini terdapat sejumlah 272 kes membabitkan 175 sudah disahkan COVID-19 dan 97 kes pula disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Sementara itu, memperincikan kes baharu hari ini, beliau berkata 4,066 kes adalah penularan tempatan dengan 21 kes pula adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Mengulas tujuh kluster baharu yang dikesan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, ia menjadikan sehingga kini terdapat 227 kluster yang masih aktif di negara ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, sehingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak 4,984 kes sembuh dilaporkan, menjadikan sehingga kini terdapat 96.4 peratus atau 2,532,036 individu sudah pulih sepenuhnya daripada COVID-19.

Berita Harian X