Isnin, 29 November 2021 | 9:23am
 Gambar kailan ikan masin dan resit yang tular di media sosial.
Gambar kailan ikan masin dan resit yang tular di media sosial.

Peniaga jual kailan ikan masin RM18 diberi notis

KEPALA BATAS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) terhadap seorang peniaga sebuah restoran, di sini yang menjual sebungkus kailan ikan masih pada harga RM18.

Pejabat KPDNHEP dalam kenyataan ringkas memaklumkan pegawai penguat kuasa agensi itu sudah melakukan siasatan di restoran terbabit selepas memperoleh maklumat mengenai premis berkenaan.

"Pegawai penguat kuasa KPDNHEP telah turun ke lapangan untuk menyiasat aduan pengguna berkaitan 'harga terlalu mahal tidak setara kuantiti yang diberikan' pada hari sama perkara ini tular.

"Satu NPMB bagi makanan kalian ikan masin berharga RM18 telah diberikan kepada peniaga berkenaan dan peniaga itu perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja," katanya.

Semalam tular di media sosial satu hantaran berserta resit memaparkan harga keseluruhan makanan yang dimuat naik seorang pelanggan restoran itu.

Dalam hantaran itu, individu terbabit terkejut apabila sebungkus kailan ikan masin untuk seorang makan dijual pada harga RM18.

Menurut petikan hantaran itu, dia sedia maklum dengan kenaikan harga barang mentah dan reda dengan harga ikan jenahak, sayur campur, ulam dan sambal yang dibelinya.

Bagaimanapun, dia sukar menerima kenaikan sebungkus kailan ikan masin untuk seorang makan pada harga RM18 yang ia dianggap terlalu mahal.

Kos keseluruhan makanan yang dibeli individu berkenaan berjumlah RM122 namun dia tidak mendedahkan nama restoran berkenaan.

Berita Harian X