Ahad, 28 November 2021 | 4:21pm
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad ketika program Agroinvest MARDI di Bandar Hilir. NSTP/NAZRI ABU BAKAR
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad ketika program Agroinvest MARDI di Bandar Hilir. NSTP/NAZRI ABU BAKAR

MARDI komersialkan 57 daripada 338 teknologi kepada 40 syarikat

MELAKA: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengkomersialkan kira-kira 17 peratus atau 57 daripada 338 teknologi yang dijana kepada 40 syarikat sepanjang Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata pengkomersialan teknologi itu membabitkan nilai perniagaan sebanyak RM171.9 juta dengan nilai teknologi RM15.9 juta.

"MARDI berperanan besar dalam memartabatkan sektor pertanian dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui penyelidikan yang berterusan dan antaranya ialah membangunkan teknologi atau inovasi untuk dipindahkan atau digunakan bagi menyelesaikan masalah golongan sasar.

"Antara platform diwujudkan bagi menjayakan aktiviti pengkomersialan berkenaan ialah menerusi penganjuran Program Agroinvest yang mula dilaksanakan sejak 2016," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Agroinvest MARDI 2021 bertemakan 'Evolusi Pemakanan Sihat Untuk Keluarga Malaysia' di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Ahmad berkata, menerusi Program Agroinvest MARDI, sebanyak 252 syarikat terbabit bagi membida lebih daripada 50 teknologi berdaya saing dan berpotensi tinggi yang ditawarkan kepada syarikat dan usahawan terbabit.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 88 syarikat menunjukkan minat untuk mendapatkan teknologi berkenaan dan sebahagian daripada mereka telah menandatangani perjanjian pengkomersialan dengan MARDI melalui kaedah pelesenan, jualan terus dan khidmat rundingan.

"Hasilnya setiap tahun MARDI mendapat pulangan purata melebihi RM1.4 juta melalui yuran pelesenan, pengurusan, jualan terus dan khidmat rundingan dan ia merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan," katanya.

Sementara itu, penganjuran Agroinvest MARDI 2021 hari ini disertai 130 peserta dari pelbagai syarikat, usahawan dan rakan industri, dengan 23 teknologi berasaskan makanan dan minuman diperkenalkan kepada peserta terbabit.

Dalam perkembangan lain, Ahmad memberi jaminan bekalan makanan terutama sayur-sayuran mencukupi walaupun terdapat kenaikan harga membabitkan sayur-sayuran import dari China seperti kubis bulat dan brokoli.

"Kenaikan harga sayur-sayuran ini kita dapat kesan sejak bulan lalu dan kita perlu menerima hakikat bahawa terdapat beberapa isu dan kekangan yang dihadapi terutama cuaca sejuk di negara pengeluar ketika ini telah menyebabkan pengeluaran sedikit tergendala sehingga menyebabkan kenaikan harga.

"Namun kita jangkakan harga berkenaan kembali stabil menjelang akhir tahun ini dan pada masa sama, kita menyarankan rakyat membeli sayur-sayuran tempatan berbanding import, sekali gus membantu mempromosikan produk keluaran tempatan," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X